Malaysia akan cadang kadar air baru kepada Singapura

Paip air sepanjang Tambak Johor yang menghubungkan Singapura dan Malaysia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Putrajaya sedang mengkaji peruntukan-peruntukan baru untuk perjanjian bekalan air mentah kepada Singapura, termasuk cadangan untuk mengkaji semula kadar yang menurut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak adil dan lapuk.

Akhbar Jepun, Nikkei memetik Menteri Luar Saifuddin Abdullah sebagai berkata cadangan untuk Perjanjian Air Sungai Johor 1962 itu akan dibentangkan kepada Singapura tidak lama lagi.

“Kita tahu perbincangan itu akan menjadi sengit,” katanya.

Bawah perjanjian air yang tamat pada 2061, Singapura berhak mengambil air mentah sebanyak 250 juta gelen sehari daripada Sungai Johor.

Johor pula berhak mengambil bekalan harian air terawat sehingga dua peratus atau lima juga gelen sehari daripada air yang dibekalkan kepada Singapura.

Singapura membayar tiga sen bagi setiap ribu gelen air mentah, dan menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap ribu gelen.

Singapura menentang cubaan menaikkan harga air mentah, mengatakan Malaysia melepaskan hak itu pada 1987 apabila ia memutuskan untuk tidak menyemak semula harga air.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu Nikkei bahawa Malaysia berusaha mengurangkan kebergantungan Johor kepada air terawat dari Singapura.

“Kami juga sedang membangunkan beberapa projek bagi memastikan Johor tidak bergantung kepada bekalan dari Singapura, dan dalam hal air terawat, dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.