Naik gred lepas 42 tahun sangat tidak adil, kata persatuan bekas kakitangan awam

Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia berpendirian Kunasegaran ada sebab untuk membawa kesnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

PETALING JAYA: Kenaikan gred dengan hanya RM10 selepas 42 tahun berkhidmat, situasi dilalui seorang kakitangan menyelenggara Menara Jam “sangat tidak adil”, kata Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma).

Setiausaha agungnya, Abd Rahman Manan berkata pihaknya sedia untuk membawa kes V Kunasegaran, pembantu operasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), yang dinaikkan dari Gred N11 ke N14 dengan kenaikan hanya RM10 dua minggu sebelum bersara, kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dikaji semula.

“Persatuan berpendapat apa yang berlaku ini, kenaikan pangkat dengan kenaikan RM10 sangat lah tidak adil. Pejasma minta pihak Jupem dan JPA mengkaji semula perkara ini supaya keadaan ini dapat diperbetulkan,” kata beliau kepada FMT hari ini.

Rahman yang juga bekas setiausaha agung Cuepacs mengulas laporan FMT semalam yang membawa nasib Kunasegaran, yang hanya mendapat kenaikan gred selapas 42 tahun berkhidmat iaitu dua minggu sebelum bersara. Perubahan gred itu membawa kepada kenaikan gaji sebanyak RM10.

Kunasegaran bekerja sebagai Pembantu Operasi dengan diberikan tugas menjaga jam menara di Dataran Merdeka sejak 1975.

Ketika ditemui FMT sempana sambutan Hari Malaysia 16 September beliau berkongsi pengalaman perjalanan kerjayanya dalam perkhidmatan awam.

“Saya terima kenaikan ini pada Ogos 2016 iaitu dua minggu sebelum saya bersara.

“Saya agak terkilan dengan kenaikan RM10 ini. Ada mengadu kepada Jupem. Adakah jasa dan pengorbanan saya menjaga warisan negara ini selama 42 tahun, nilai kenaikan 80 sen sebulan? Bagi cucu saya pun mereka tak mahu lah,” katanya.

Dengan gaji permulaan RM146 sebulan pada 1975, beliau bersara dengan gaji RM2,700 pada 2016 dalam jawatan yang sama dan tiada kenaikan pangkat.

Ketika ditanya sama ada Kunasegaran boleh membawa perkara itu untuk disemak semula, Abd Rahman memberitahu, “dia boleh.”

“Persatuan kami pun boleh membantu dia sekiranya dia menulis secara rasmi kepada persatuan. Kami akan membantu,” kata beliau.

Jelas beliau, JPA boleh mengkaji semula sekiranya adalah kesilapan teknikal dalam aspek kenaikan pangkat dan gred seseorang kakitangan.

“Tidak mungkin perkara ini boleh berlaku. Atau ada yang terlepas pandang… kenaikan gred di penghujung kerja,” kata beliau.