Pemuda ditembak ketika jamu selera di kedai

TUMPAT: Seorang pemuda cedera di paha dan tangan selepas ditembak seorang lelaki ketika sedang menjamu selera bersama dua rakan di sebuah kedai makan di Kampung Neting dekat Pengkalan Kubor petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Wan Khairuddin Wan Idris berkata kejadian berlaku pada kira-kira 3.15 petang semasa pemuda itu bersama dua rakan sedang makan, apabila mereka tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal berwarna merah yang terus melepaskan tembakan.

Pemuda yang cedera itu melarikan diri ke rumah penduduk berdekatan, dan bernasib baik kerana suspek yang melepaskan tembakan gagal menemuinya ketika itu, manakala dua rakannya yang berumur sekitar 20-an sempat melarikan diri.

“Berdasarkan maklumat awal, penyerang melepaskan tiga das tembakan dan dua daripadanya mengenai paha dan tangan lelaki itu. Lelaki yang cedera itu berjaya meloloskan diri, kini dirawat di Hospital Tumpat dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya kepada pemberita hari ini.

Satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi menyiasat motif kejadian, selain memburu suspek, dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya.