Pendidikan politik dan demokrasi

Terdapat satu persoalan fundamental bagi setiap warganegara Malaysia yang harus kita fikirkan semula sebelum memulakan perbincangan. Sama ada kaum Melayu, India mahupun kaum Cina. Begitu juga kaum-kaum yang lain seperti Murut dan Iban juga.

Barangkali persoalan ini bukanlah sebuah persoalan yang populis dan menguntungkan atau boleh dianggap sebagai picisan. Tetapi bagaimanakah boleh jadi begini?

Sejauh mana kita fahami demokrasi dan pendidikan politik? Atau sejauh mana kita memahami konsep dan operasi demokrasi khususnya di Malaysia?

Persoalan sebegini haruslah kita terjun ke benak paling dalam untuk menghuraikan maknanya secara terperinci dan komprehensif. Sistem pendidikan di negara kita tidak mempunyai silibus khas dalam memberikan pendidikan politik kepada anak muda seperti ini.

Wacana mengenai pendidikan politik atau pendidikan demokrasi umumnya haruslah dipergiatkan bermula dari akar umbi. Perbincangan mengenai perlembagaan negara, sistem demokrasi berparlimen, sistem ekonomi, pembelajaran mengenai Rukun Negara dan hak sebagai warganegara. Topik-topik ini haruslah digilap dan disuburkan kepada akar umbi mengikut keperluan mereka.

Untuk apa? Untuk pembudayaan ilmu dan memberikan ruang buat mereka berfikir soal tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia.

Pendidikan politik

Politik yang harus kita imani, bukanlah politik kepartian atau politik bangsa tetapi haruslah lebih luas pentakrifannya. Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, namun tingkah laku politik juga boleh didapati dalam kalangan korporat, akademik, agama dan institusi-institusi yang lain.

Pendidikan politik bukan menyuruh pelajar menghafal membabi buta sejarah parti atau pemimpin politik semata-mata, tetapi yang lebih penting membina kemahiran berfikir secara kritikal serta mengembangkan idealisme.

Pendidikan politik juga bertujuan mendidik pelajar dengan semangat demokrasi, meraikan kemajmukan pandangan, menghargai perbezaan dan menghormati keluhuran perlembangaan. Itulah dinamika nuansa Malaysia.

Selain itu, pendidikan politik juga mendidik pelajar akan hak mereka sebagai warganegara, mengimani semangat demokrasi dan meletakkan rasional akal dalam menilai hujah ketika mana sedang membuat pilihan. Perkara ini, selaras dengan Rang Undang-undang Undi 18 Tahun yang telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini. Usaha ini boleh dilihat sebagai sebuah proses permulaan ke arah Malaysia yang lebih matang dan sihat dalam pengamalan demokrasi.

Pendidikan politik haruslah bersifat multidimensi dalam operasi penyampaiannya kepada pelajar. Ia bukanlah platform untuk memuja para pimpinan parti, memuja keabsahan parti dan mengambil kesempatan untuk meraih simpati terhadap parti atau pimpinan parti.
Penyampaian kepada pelajar dengan cara bersederhana mestilah dipertahankan kerana matlamat pendidikan politik adalah untuk membebaskan rasa kebergantungan yang masih melekat dalam diri seseorang.
Kembali kepada persoalan di awal tulisan, sejauh mana kita sebagai rakyat Malaysia memahami demokrasi? Sejauh mana pengamalan sistem demokrasi melahirkan pentadbiran yang baik?

Malaysia sangat istimewa.

Negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat sedemikian untuk membolehkan pelaksanaan sistem dapat dijalankan dengan baik. Salah satu kriterianya adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian dalam pemerintahan iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif (pentadbiran).

Selain itu, Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berasaskan kepada sistem persekutuan. Berdasarkan kepada peruntukan ini negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan negara Malaysia.

Cuma pengamalan demokrasi di Malaysia, kita menggunakan demokrasi berparlimen raja berlembagaan. Sistem demokrasi ini digabungkan dengan sistem monarki sebahagiannya. Parlimen mempunyai bidang kuasanya sendiri iaitu menjadi ejen semak dan imbang terhadap raja, sebelum raja melepaskan tugas eksekutif kepada kerajaan.

Namun, seninya demokrasi, ia memerlukan semua pihak yang melibatkan pelbagai kelas sosial dalam pembuatan keputusan.

Demokrasi dan anak muda

Mengambil kata-kata salah seorang ahli falsafah bahawa sistem demokrasi merupakan “Best among the worst” adalah hakikat yang berat untuk kita maknai secara mendalam. Demokrasi berparlimen merupakan ruang kepada setiap warganegara terlibat dalam proses pentadbiran negara.

Persolannya, sejauh mana demokrasi berparlimen difahami apabila mereka yang diberi hak untuk menentukan siapakah wakil rakyat di kawasan mereka menerusi proses pilihan raya enggan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi?

Had umur mengundi telah pun diturunkan kepada 18 tahun tetapi sejauhmanakah anak muda memahami konsep dan operasi pendidikan politik pada hari ini? Ini juga satu persoalan yang perit untuk difikirkan.

Lambakkan gejala sosial dan pengaruh gajet juga merupakan satu bab yang mesti difikirkan secara mendalam. Wajarkah anak muda bersedia untuk menjadi salah satu penentu masa hadapan negara?

Pada pandangan saya, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Bermula dengan institusi keluarga, guru-guru dan masyarakat yang akan mencorak generasi masa hadapan kelak.

Kefahaman mengenai hak mengundi harus diberi fokus secara tuntas. Perkara ini merupakan peluang terbaik untuk anak muda belajar perihal tanggungjawab, demokrasi dan sistem pemilihan. Kita wajar meyakini bahawa dunia yang kita diami akhirnya akan dipimpin oleh anak-anak muda yang mesti dipersiapkan secara holistik.

Pindaan ke atas perlembagaan ini hanyalah sekadar pindaan semata-mata, sekiranya kita mengambil mudah dalam memberi penekanan soal tanggungjawab, moral, kematangan berfikir dan empati terhadap anak-anak muda.

Sebelum PRU14 lagi, pendidikan politik melalui inisiatif yang diwujudkan oleh parti politik dan badan kajian giat menjalankan usaha-usaha menyuburkan nilai-nilai demokrasi dan sivik dalam kalangan anak muda. Pasca PRU14 kelihatan mekar bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Pendidikan politik di peringkat awal dimulakan melalui Sekolah Politik oleh Institut Kajian Dasar (IKD) dan Sekolah Demokrasi oleh DAP. Antara medium telah yang melahirkan figura-figura mahasiswa pada hari ini seperti Iman Najaa (Demokrat UM) dan Amin Mubarak (Pengerusi Mahasiswa Amanah Nasional).

Pasca PRU14 juga semakin segar pembudayaan pendidikan politik kepada anak muda menerusi parti politik. Antaranya ialah PKR yang memfokuskan anak muda melalui AMK (Angkatan Muda Keadilan). Mereka mempunyai mekanisme pengkaderan yang sistematik antaranya Akademi Keadilan Masa Depan. Selain itu, inisiatif penting dalam membumi dan membudayakan idea reformasi diteruskan oleh Anwar Ibrahim melalui Diwan Reformasi.

Begitu juga, wujudnya Akademi Bangsa melalui Pejabat DUN Dusun Tua, Akademi Bina Bangsa di bawah Wan Saiful Wan Jan. Selain itu, Amanah juga menubuhkan SCHOLAR sebagai satu usaha memberi pendidikan politik buat anak muda yang berjiwa Islamis.

Berikut merupakan beberapa sekolah yang bersangkut paut dengan parti dan ahli politik kerajaan pada waktu ini.

Manakala, bagi parti politik pembangkang pula, terdapat penubuhan Bengkel Patriotisme dan Negara Bangsa yang dianjurkan oleh Generasi Neo (O2 Malaysia). O2 Malaysia diasaskan oleh Hishammuddin Hussein juga bertujuan memberi pendidikan politik dan sivik kepada generasi anak muda.

Anak muda perlu memanfaatkan peluang ini bagi memperkasa potensi dan mencabar idealisme diri.

Anak muda punyai pelbagai alternatif dan pilihan. Namun, sejauh mana keberhasilan anak anak muda ini?

Kita harus percaya bahawa sistem dan budaya merupakan titik tolak utama untuk menjadikan warganegara Malaysia lebih matang dan sejahtera.
Pendidikan politik melalui parti atau ahli politik bukanlah suatu hal yang tidak baik kerana mendidik juga merupakan salah satu tanggungjawab parti dan ahli politik. Tetapi kita harus berani berprinsip, rasional dan tidak bias atau berat sebelah.

Luthfi Yusri adalah Alumni Sekolah Merdeka anjuran Institute for Leadership and Development Studies (LEAD).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.