Saksi: Saya ambil 112 foto gali semula jenazah CEO Cradle Fund, bedah siasat

Bekas jurugambar polis, Shafie Abd Aziz yang mengambil gambar ketika proses penggalian mayat dan bedah siasat kedua bersama Jamiliah Osman yang menerima panggilan mengenai kebakaran di rumah Nazrin Hassan.

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis daerah Petaling Jaya memberitahu perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan hari ini, dia tidak mengambil butiran pemanggil yang memaklumkan kebakaran di rumah mangsa.

Jamaliah Osman yang bekerja di pusat kawalan berkata, seorang pemanggil dengan nama “Chung Shan Hui” menghubungi pusat itu pada 1 tengah hari 14 Jun 2018 untuk memberitahu kebakaran di rumah itu.

Tetapi, katanya, dia tidak mengambil butiran Chung seperti nombor kad pengenalan atau alamat rumah.

“Kami terima banyak panggilan telefon di pusat panggilan setiap hari.

“Kebanyakan orang yang hubungi kami tidak mahu memberi butiran peribadi mereka,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Noor Marwani Abdul Halim mengenai sebab dia tidak mengambil butiran pemanggil.

Peguam, LS Leonard yang mewakili isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan dua remaja, bertanya sama ada Chung memberitahu dia menyaksikan kebakaran itu, Jamaliah berkata “ya”.

Samirah dan dua remaja itu didakwa membunuh Nazrin pada 14 Jun 2018. Seorang lagi suspek yang masih bebas ialah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari.

Jamaliah berkata, sistem pusat panggilan menunjukkan anggota bomba dalam perjalanan ke rumah Nazrin.

“Saya minta sebuah kereta peronda polis ke rumah itu kerana bimbang mungkin ada unsur jenayah di tempat kejadian,” katanya ketika ditanya Leonard kenapa dia mengarahkan kereta peronda polis ke rumah Nazrin.

Sementara itu, bekas jurugambar polis, Shafie Abd Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi yang pegawai penyiasat, Nizam Daud, meminta dia mengambil gambar proses penggalian mayat Nazrin dan bedah siasat kedua.

Shafie berkata, beliau mengambil 112 gambar dari 8 Oktober 2018 hingga 15 Oktober 2018, sejak hari jenazah Nazrin dikeluarkan sehingga dikebumikan semula.

“Ini kali pertama saya mengambil gambar proses penggalian mayat dan bedah siasat,” katanya ketika ditanya peguam Samirah, Muhammad Shafee Abdullah, mengenai pengalamannya menyertai proses penggalian jenazah dan bedah siasat.

Bagaimanapun, Shafie berkata, beliau tidak tahu nama atau individu yang hadir di bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya ketika bedah siasat kedua dijalankan selama dua hari.

“Saya lebih fokus kepada mayat itu.”

Perbicaraan akan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Ab Karim Ab Rahman pada 27 September ini.