Selepas kamera badan, lokap akan dipasang CCTV

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperuntukkan RM73 juta untuk memasang peralatan pengawasan video di 756 lokap polis di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, berkata jumlah itu sebahagian daripada bajet RM126 juta yang diluluskan untuk penambahbaikan kemudahan polis.

Langkah itu disambut baik Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang berkata, ia akan memudahkan polis untuk mencari dalang di sebalik kes kematian dan penderaan dalam tahanan.

“Selama ini, pegawai saya terdedah kepada fitnah.

“Dalam kes kematian dalam tahanan polis, kebanyakannya disebabkan penyakit yang dihidap tahanan.

“Tetapi, dakwaannya ialah orang saya memukul mereka.”

Langkah itu menyusul pengumuman Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad semalam yang penguat kuasa undang-undang, termasuk polis akan dilengkapi kamera badan.

“Sudah tentu pegawai itu akan menafikannya, tetapi pelanggan akan menegaskan bahawa dia telah dipukul, jadi antara kedua-dua mereka, kita ingin tahu siapa yang betul.

“Apabila kita mempunyai kamera, kita akan tahu sama ada dakwaan terhadap pegawai berkenaan ada asas ataupun tidak,” kata perdana menteri selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah semalam.

Sementara itu, Liew berkata, kamera litar tertutup (CCTV) turut akan dipasang dalam lokap mahkamah bagi memastikan keselamatan anggota polis yang mengiringi tahanan.

“Ini juga membabitkan keselamatan hakim dan pegawai lain yang menjalankan tanggungjawab mereka di mahkamah,” katanya selepas lawatan kerja ke Kem Briged Tengah di Pasukan Gerakan Am.

Beliau berkata, RM100 juta akan diperuntukkan bagi menaik taraf 210 kemudahan lif di kuaters dan pejabat polis tahun ini.

“Saya diberitahu ada bangunan sembilan atau 10 tingkat tinggi dengan lif yang tidak berfungsi.”