Terowong PP: Bicara kes Azeez saman Guan Eng bermula 15 Nov

Abdul Azeez memfailkan saman terhadap Guan Eng kerana mengaitkan beliau dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan empat hari bermula 15 Nov depan untuk perbicaraan kes saman ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung kenyataan dalam isu pembinaan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Hakim Rosilah Yop menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan yang dihadiri peguam Felix Lim yang mewakili Guan Eng.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 15 dan 19 Nov untuk pihak plaintif memberi keterangan, manakala 9 hingga 10 Dis bagi pihak defendan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Terdahulu, Lim memaklumkan hari ini sepatutnya tarikh bicara kes berkenaan, namun perbicaraan pada hari ini dilapangkan atas permohonan plaintif.

Lim ketika ditemui pemberita memaklumkan peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Abdul Azeez tidak dapat hadir pada prosiding hari ini berikutan mempunyai masalah kesihatan.

Dalam penyataan tuntutannya yang dikemukakan pada Mac tahun lepas, Abdul Azeez mendakwa Guan Eng mengeluarkan kenyataan fitnah masing-masing pada sidang media di pejabat ketua menteri di Komtar pada 28 Feb 2018 dan pada majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada tarikh sama yang mengaitkan beliau dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Abdul Azeez selaku plaintif mendakwa kenyataan itu mendapat liputan yang meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar tempatan, selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.

Plaintif mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan itu menyebabkan Abdul Azeez mengalami kerosakan yang amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya, di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam.

Sehubungan itu, Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau juga memohon suatu perintah untuk penerbitan semula kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu, serta permintaan maaf awam dalam akhbar dan media elektronik tempatan.

Beliau juga memohon injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan.