Vincent Tan taja pemain kebangsaan mula kerjaya bola di Eropah

Tokoh perniagaan Vincent Tan mengumumkan untuk menaja penyerang muda Luqman Hakim (tengah) memulakan kerjaya bola sepak di Eropah, di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: Tokoh perniagaan Vincent Tan hari ini mengumumkan akan menaja penyerang pasukan negara Bawah-19 tahun, Luqman Hakim memulakan kerjaya bola sepak di peringkat antarabangsa di Eropah.

Palam sidang media di Bronx V, Berjaya Times Square di sini, Tan, pemilik pasukan Cardif City F C dan KV Kortrijk, sebuah kelab bola sepak Belgium berkata, Luqman akan menandatangani kontrak lima tahun untuk berlatih dengan pasukan Kortrijk apabila beliau berumur 18 tahun pada Mac tahun depan.

Ini akan menjadikan Luqman rakyat Malaysia pertama bermain dalam liga Belgium.

“Saya harap beliau akan berjaya, dan berlatih dengan gigih serta tidak berputus asa walau sesukar mana pun kelak,” kata Tan pada sidang media itu.

Katanya, beliau juga berharap pemegang taruh dan pemimpin sukan Malaysia akan membantu pemain tempatan supaya berjaya dalam kerjaya mereka di peringkat antarabangsa.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada sidang media yang sama, Syed Saddiq berkata, Luqman memiliki bakat dan kemahiran sesuai, selain minat yang mendalam. Ini katanya, menjadikan beliau pemain yang baik.

“Ia berkait dengan azam. Luqman bermain dengan baik dan beliau berada di sini kerana kerja kerasnya.”

Luqman yang hadir bersama ibu bapanya berkata, beliau akan berbuat sebaik mungkin bagi meningkatkan kebolehan dan menaikkan imej negara.

“Saya akan berbuat sebaik mungkin dan membanggakan rakyat dan negara,” katanya.

KV Kortrijk kini berada di tangga ke-11 liga profesional Belgium.

Luqman merupakan lulusan pertama Akademi Bolasepak Kebangsaan Mokhtar Dahari.

Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, Luqman mula menarik perhatian ramai apabila muncul penjaring terbanyak kejohanan Persekutuan Bolasepak Asia Bawah-16 pada 2018.

Penyerang berbisa itu memperlihatkan kehandalannya sebagai seorang penyerang apabila menjaringkan empat gol dalam Kejohanan Persekutuan Bolaseak Asean Bawah-18 tahun dengan membantu skuad negara muncul sebagai naib juara.