Warga emas ditemui mati dengan tangan diikat, kepala ditutup di Ampang

Menurut polis mayat wanita berusia 85 tahun itu ditemui anaknya di kediamannya di Pangsapuri PKNS, Kampung Tasik Tambahan, Ampang petang semalam.

KUALA LUMPUR: Mayat wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan tertiarap dengan kedua tangan diikat di kediamannya di Pangsapuri PKNS, Kampung Tasik Tambahan Ampang, Ampang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Noor Azmi Yusoff berkata, mayat wanita berusia 85 tahun yang kepalanya turut ditutup dengan kain ditemui anaknya di dalam bilik tidurnya ketika pulang dari kerja kira-kira jam 5.30 petang.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Maaysia untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat A Wiswanathan di talian 012-3198918 bagi membantu siasatan.