5 tip perlu anda lakukan jika kaki berbau

Pemilihan dan pemakaian kasut yang sesuai sangat perlu bagi menentukan penampilan seseorang.

Ada yang pernah berkata tidak guna memakai minyak wangi sampai sebotol tetapi mempunyai kaki yang busuk dek gara-gara kasut yang “kepam” atau anda memang seorang yang kuat berpeluh.

Tidak dinafikan kaki sememangnya akan mengeluarkan bau busuk apabila memakai kasut sepanjang hari.

Ditambah pula dengan cuaca yang panas dan peluh pada bahagian itu turut menyumbang kepada masalah berbau ini.

Ia bertambah teruk sekiranya kita memakai kasut yang lembab dan menyebabkan masalah itu berlarutan terutama jika tidak mencuci kaki dengan betul.

Bau yang wujud itu juga disebabkan bakteria dan kuman yang terperangkap di bahagian kaki.

Masalah ini boleh diatasi sekiranya kita menjaga kebersihan kaki dan beberapa tip ini mungkin boleh membantu anda.

1. Jaga kebersihan kasut

Sebaik-baiknya cuci kasut anda dengan kerap atau pun keluarkan bahagian tapak dalam kasut untuk dicuci kerana di situ adalah tempat membiaknya bakteria.

Labur sedikit wang untuk membeli barangan penjagaan kasut seperti semburan mematikan bakteria, ia banyak dijual di kedai farmasi.

2. Rendam kaki dalam larutan cuka dan garam epsom

Ambil segengam garam epsom dan larutkan dalam bekas yang boleh memuatkan kedua-dua belah kaki anda.

Guna air panas dan biarkan garam larut sekitar 10 ke 20 minit sebelum merendam kaki anda.

Kebaikan garam epsom ini ia mampu menarik kelembapan daripada kulit selain mematikan kuman dan bakteria.

Jika tiada garam epsom, anda juga boleh menggunakan cuka sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Seperti garam epsom, cuka juga boleh membantu mematikan bakteria.

Namun bagi yang mengalami luka pada bahagian kaki, penggunaan cuka adalah tidak digalakkan.

3. Pastikan kaki kering

Ketika mandi sebaiknya gunakan kain atau loofah untuk menyental kaki serta celah-celah jari bagi memastikan kotoran dapat dibersihkan.

Bagaimanapun, anda perlu memastikan kaki anda kering dengan baik selepas mandi sebelum memakai stoking atau kasut.

Ini kerana bakteria sukakan tempat yang lembap dan atas sebab itu kaki anda berbau.

4. Deodorant kaki

Ada sesetengah individu sering berdepan situasi kaki berpeluh, tapi jangan bimbang kerana sekarang terdapat pelbagai produk deodorant kaki yang mampu mengatasi masalah itu.

5. Sentiasa pakai stoking dan ganti setiap hari

Memakai stoking merupakan salah satu lagi cara untuk mengelakkan kaki daripada berbau teruk sehingga mengganggu ketenteraman rakan anda.

Malah sebaiknya anda perlu ganti setiap hari stoking itu bagi memastikan kaki anda terhindar daripada sebarang bau yang kurang menyenangkan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]