Agong kurnia Anugerah Sasterawan Negara ke-14 kepada Siti Zainon

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan watikah Sasterawan Negara kepada Siti Zainon Ismail di Kuala Lumpur malam ini. Turut kelihatan Ketua Pengarah DBP, Abang Sallehuddin Abg Shokeran.(Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah malam ini berkenan menghadiri majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 (ASN ke-14).

Pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini, keberangkatan tiba Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 8.40 malam disambut Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Ni Ching dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudiannya berkenan menerima sembah kenal penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, Siti Zainon Ismail oleh Maszlee.

Agong kemudiannya berkenan menyampaikan watikah Sasterawan Negara kepada Siti Zainon sebelum menerima sembah ucapan daripada beliau.

Sebelum ini, Siti Zainon diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Pemilihan Siti Zainon berdasarkan kepada sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran serta pengembangan sastera.