Bolehkah platform digital hapus jurujual kereta terpakai tidak jujur?

Harga lebih rendah dan kemudahan pinjaman lebih menarik menyebabkan lebih banyak kereta baru dijual berbanding kereta terpakai.

PETALING JAYA: Kebanyakan bakal pembeli yang mengunjungi tapak-tapak jualan kereta terpakai sedar tentang kewujudan peniaga-peniaga tidak jujur.

Mereka mengesyaki jurujual yang sentiasa tersenyum akan mengambil kesempatan dengan menggunakan pelbagai tipu muslihat apabila membeli atau menjual kereta terpakai.

“Peniaga tidak jujur mengiklankan tahun pembuatan palsu dan menawarkan harga sangat rendah hanya untuk menarik pelanggan,” kata setiausaha agung Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) Khoo Kah Jin kepada FMT.

“Ini sangat tidak sihat,” katanya.

Kereta baru dari kilang dengan harga lebih rendah berduyun-duyun memasuki bilik pameran dan dengan kaedah pembiayaan lebih menarik, terus melonjakkan angka pembelian kereta baru.

Menurut FMCCAM, mewakili lebih 4,000 penjual kereta di negara ini, pada masa sekarang lebih banyak kereta baru dijual berbanding kereta terpakai.

Ini menyebabkan peniaga kekurangan pelanggan dan terdorong untuk mencari pelbagai cara bagi meningkatkan jualan mereka.

Khoo percaya teknologi digital akan membawa perubahan positif kepada industri itu. Langkah ke arah urus niaga dan kawal selia atas talian semakin berkembang.

Platform atas talian yang digunakan peniaga kereta terpakai mendigitkan bagaimana orang membeli dan menjual kereta. Mereka menyelaraskan proses, melupuskan kerja tulis dan memastikan peniaga bersikap jujur.

Laman web di mana pelanggan membida kenderaan tumbuh seperti cendawan. Oleh sebab prosesnya automatik dan dikawal selia, peniaga yang berdaftar boleh meyakinkan pembeli bahawa mereka akan mendapat kualiti yang sesuai dengan harga yang dibayar.

FMCCAM sedang membangunkan platform sendiri bagi menghimpunkan semua peniaga kereta dan menyediakan pangkalan data kereta terpakai untuk jualan lebih luas.

“Ia seperti eBay kereta dan akan membantu kami menganalisis kenderaan dan perkhidmatan mana yang dikehendaki pelanggan,” kata Khoo.

Pemeriksaan, pembayaran dan pindah milik kenderaan akan dikendalikan oleh platform. Jadi penjual hanya perlu pergi ke bengkel untuk memulakan proses itu. Sesetengah platform dihubungkan terus dengan bank bagi memudahkan pinjaman.

Pembeli serta penjual mendapat manfaat dan begitu juga peniaga.

Dalam pada itu, peniaga juga berdepan masalah birokratik mereka sendiri yang cuba diatasi oleh platform atas talian.

“Katakan peniaga mengambil kereta daripada seorang pelanggan, dan pemiliknya meninggal dunia sebelum ia dijual. Ia menjadi masalah dan juga risiko kepada peniaga,” kata Khoo.

Biasanya, hak milik kereta hanya akan dipindahkan apabila ada pembeli dan pinjaman atau bayarannya diluluskan. Ini melibatkan banyak kerja tulis dan birokrasi.

Sistem Tukar Milik Sementara (e-STMS) menghubungkan peniaga kereta terpakai secara langsung dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui internet. Ia memberi kesan positif.

“Sekarang jika sesebuah kereta tidak dijual dalam masa enam bulan, hak miliknya dipindahkan secara automatik kepada peniaga,” kata Khoo.

Pelaburan dalam teknologi tersebut juga kini bertambah dengan banyaknya, terutamanya dari luar negara.

Menyedari bahawa rakyat Malaysia semakin bergerak ke arah teknologi digital, pelabur asing mula membuat pelaburan dalam platform atas talian yang dikhususkan untuk industri kereta terpakai.

Laman bidaan kereta atas talian Malaysia, myTukar bertujuan menyediakan proses penilaian dan pembelian lebih tepat dan telus. Diwujudkan pada 2017, ia telah menjual kereta bernilai lebih RM200 juta dengan menggunakan teknologi baru atas talian.

MyTukar baru-baru ini menerima suntikan modal RM120 juta daripada Carro, sebuah pasar kereta terpakai atas talian Singapura.

Pengasas dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Carro, AAron Tan, mempertahankan pelaburan besar itu dengan berkata, Malaysia merupakan antara negara paling celik teknologi digital di Asia Tenggara.

“Jadi ia adalah langkah logikal bagi kami selepas melebarkan sayap ke Thailand dan Indonesia,” katanya.

Pengasas dan CEO myTukar Fong Ho Sum bersetuju.

“Bagi menambah pendapatan mereka, perniagaan kereta terpakai Malaysia mesti menggunakan teknologi digital untuk memperluas asas pelanggan mereka.

Peningkatan jumlah peniaga yang menyertai platform atas talian, penggunaan e-STMS lebih meluas dan pelaburan besar dari luar jelas menunjukkan bahawa teknologi boleh membantu memperbaiki model perniagaan peniaga kereta terpakai, sekali gus memberi saingan kepada segmen kereta baru.

Ia juga membantu menghapuskan peniaga tidak jujur dengan memastikan orang ramai menikmati pengalaman menjual dan membeli kereta yang lebih mudah dan telus.