Cuepacs: Kuna sudah dapat ‘lebih dari naik pangkat’
Kata presiden Cuepacs, Kunasegaran sudah mendapat hak beliau berikutan kenaikan gaji dan pangkat yang diberi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) sehingga 2016.
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) percaya V Kunasegaran, penyelenggara Menara Jam telah diberikan segala kenaikan gaji sewajarnya mengikut kelayakan beliau sepanjang berkhidmat dengan kerajaan.
Presidennya, Azih Muda berkata berdasarkan maklumat diterima Cuepacs, Kunasegaran, pembantu operasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), sebenarnya telah dinaikkan gred dan gaji beberapa kali sepanjang 42 tahun beliau berkhidmat.
Kata Azih, Kunasegaran sudah mendapat hak beliau berikutan kenaikan gaji dan pangkat yang diberi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) sehingga 2016.
“Masa dia dilantik, gaji dia dulu berapa? Ibaratnya dia nakkan kelayakan dia pada tahap PMR (Penilaian Menengah Rendah) sedangkan dia masuk darjah tiga.
“Naik pangkat lah tu, gaji maksimum dia yang terakhir RM2,600, gaji lama RM1,200, apa yang tidak naik pangkat pula, dah lebih dari naik pangkat,” kata beliau kepada FMT.
Ditanya mengapa pangkat N14 itu naik dua minggu sebelum Kunasegaran bersara, Azih berkata perkara itu tidak patut dipertikaikan lagi.
“Jupem bagi naik pangkat sebelum bersara, okay lah tu. Apa yang dia nak pertikai?
“RM10 adalah beza jawatan. Kenaikan dia dah pun diberi pada N11 sebanyak RM80,” jelas beliau ketika diminta mengulas laporan FMT.
Kenaikan RM80 dibuat pada jawatan yang lama iaitu Pembantu Operasi Gred N11. Namun ketika dinaikkan pangkat pada dua minggu sebelum besara sebagai Pembantu Operasi Gred 14, dia diberi kenaikan hanya RM10 sahaja.
Asasnya, kenaikan tersebut boleh dibuat berdasarkan budi bicara serta kemahiran dalam suatu bidang pekerjaan yang dilakukan tanpa mengambil kira apa jua latar belakang pendidikannya.
Kunasegaran yang ditemui baru-baru ini sempena sambutan Hari Malaysia berkata hanya mendapat kenaikan gred selapas 42 tahun berkhidmat iaitu dua minggu sebelum bersara. Perubahan gred itu membawa kepada kenaikan gaji sebanyak RM10.
Beliau sebelum ini cuba mendapatkan haknya sebagai kakitangan awam yang berkhidmat selama 42 tahun menjaga jam Menara Bangunan Abdul Samad.
Nasib Kunasegaran turut mendapat perhatian Persatuan Bekas Penjawat Awam dan Swasta Malaysia (Pejasma) yang menganggap ia tidak sepatutnya berlaku.
Setiausaha agungnya, Abd Rahman Manan berkata, pihaknya sedia untuk membawa kes Kunasegaran kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dikaji semula.
Mengulas lanjut, Azih berkata tidak mugkin kenaikan pendapatan selama 42 tahun berkhidmat hanya RM10.
Sebaliknya jelas beliau, jumlah tersebut hanya menjurus kepada perbezaan kenaikan pangkat dari Gred N11 kepada Gred N14 sahaja.
“Macam mana boleh jadi RM10 sahaja naik, RM10 beza (gred) sahaja, dia punya kenaikan pangkat akan dapat satu kenaikan, jumlah gaji dan dengan kenaikan pangkat lain, dia jangan kelirukan orang.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Proses kenaikan ada pekeliling. Seseorang yang nak pangkat ini akan dapat kenaikan daripada apa yang dia dapat dan ditambah dengan satu lagi kenaikan (gaji), dulu mula dia masuk kerja berapa dapat gaji dan sebelum dia pencen berapa gaji dia dapat,” kata beliau.