Dr M sebak selepas ziarah jenazah Md Farid

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama-sama pemimpin PH dan orang ramai menziarahi jenazah Dr Md Farid Md Rafik di Pontian, Johor hari ini. (Bernama pic)

PONTIAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr Md Farid Md Rafik menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 42 tahun, hari ini.

Beliau, yang juga ahli Parlimen Tanjung Piai, meninggal dunia di Hospital Pontian kira-kira 6.00 pagi ini akibat komplikasi jantung.

Anak jati mukim Serkat itu meninggalkan seorang isteri, Farah Syazwani Hanis Ismail dan tiga anak perempuan.

Pemergian timbalan ketua Bahagian PPBM itu disifatkan rata-rata pemimpin tempatan sebagai satu kehilangan besar kepada parti itu dan Pakatan Harapan (PH).

Turut merasai kehilangan ialah Pengerusi PPBM dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kelihatan sebak selepas menziarahi jenazah Md Farid.

“Masih muda. Takziah kepada semua keluarga, terima kasih,” katanya ringkas, ketika ditemui pemberita di Masjid Jamek Datuk Hj Noh Gadut di sini.

Turut mengiringi Mahathir, Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal; Timbalan Presiden PPBM Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agungnya Marzuki Yahya.

Di masjid berkenaan, Mahathir bersama lebih 1,000 ahli masyarakat serta pemimpin tempatan berjemaah salat jenazah.

Terdahulu ibu Allahyarham, Norma Mohamed, 67, menyifatkan pemergian anak sulungnya itu dirasai ahli masyarakat di sini, terutama apabila pada jam-jam terakhir hayatnya beliau masih memikirkan bagaimana membantu rakyat setempat.

Menurutnya, Allahyarham masih bertemu masyarakat sehingga kira-kira pukul 4.00 pagi tadi sebelum kemudiannya dilaporkan meninggal dunia dipercayai serangan sakit jantung di hospital, dua jam kemudian.

“Saya redha dengan pemergian Allahyarham dan mengharapkan penduduk mendoakan rohnya dicucuri rahmat,” kata beliau, yang juga ketua Srikandi PPBM Bahagian Tanjung Piai.

Md Farid, yang juga seorang pakar bius di hospital swasta di Melaka sebelum ini, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada pilihanraya umum ke-14 (PRU14) atas tiket PKR-PPBM.