Jam menara itu ibarat nyawa, perlu dijaga dengan baik

Meskipun tidak mempunyai nasib yang baik dengan rezeki diperolehi sebagai penjaga jam warisan, V. Kunasegaran masih tidak kekok untuk memberi tunjuk ajar kepada rakannya yang juga perintis menjaga jam tersebut.

Menganggap jam tersebut merupakan “bayi” buatnya, Kunasegaran berkata ia perlu dijaga dengan baik supaya terus “bernyawa”.

“Saya tak fikir tentang rezeki, kalau ada itu nasib saya lah, kalau tak ada pun apa saya boleh kata, tapi jam itu kita mesti kena jaga.

“Ia perlu berfungsi, kita kena bagi minit dan saatnya berjalan, saya jaga jam itu betul-betul macam bayi saya,” katanya kepada FMT.

Katanya, masih ada kakitangan baru menelefonnya untuk bertanya tentang cara bagaimana untuk menjaga jam tersebut, dan ia diajar dengan begitu teliti supaya tidak berlaku apa jua kerosakan.

“Saya tahu nak baiki jam itu menggunakan kos yang sangat tinggi, sebab itu bila kawan-kawan tanya, saya masih lagi ajar mereka, saya tak pernah pun sorok ilmu dari mereka, apa jadi pada saya itu kira lain, tapi kawan tetap kawan,” jelasnya.

Sebelum ini Kunasegaran berkata beliau diminta untuk mengajar kakitangan baru yang menggantikan beliau dengan kontrak selama dua tahun.

Sehubungan itu, beliau mula menurunkan ilmunya pada Ogos 2016 kerana akan berhenti pada Disember tahun yang sama.

Namun selepas itu tiada perkhabaran dari pihak atasan tentang kontrak yang dikatakan sebelum ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]