Jerebu pulih setakat 6 pagi, Sri Aman sudah tidak bahaya

PETALING JAYA: Keadaan berjerebu yang menjejaskan seluruh negara sejak seminggu lalu memperlihatkan perubahan ketara pagi ini dengan hanya Sri Aman di Sarawak masih dalam kategori sangat tidak sihat.

Sri Aman yang berada dalam kategori bahaya sejak awal pagi semalam juga telah pulih sejak 3 pagi tadi.

Setakat jam 6 pagi ini, kawasan itu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 269 berbanding lebih 400 sepanjang Jumaat.

Semalam tiga lagi kawasan di Sarawak mencatatkan IPU sangat tidak sihat yang melebihi 200. Setakat 6 pagi tadi Kuching mencatatkan paras 187, Sarikei (144) dan Samarahan (161).

Bacaan IPU 0-50 dikategorikan kualiti udara sihat, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 berbahaya.