Menteri bantu penjaga jam menara dapatkan rumah PPR

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

PETALING JAYA: Susulan pendedahan eksklusif FMT mengenai nasib penjaga jam menara, V Kunasegaran dua hari lalu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengeluarkan arahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membantu beliau dengan kadar segera.

Arahan Khalid mengenai permohonan mendapatkan unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), dipohon Kunasegaran sejak 2014, dikeluarkan sebaik sahaja membaca artikel FMT pada Khamis.

“Saya sudah minta Datuk Bandar untuk memberinya rumah untuk disewa. InsyaAllah akan diuruskan dengan seberapa segera,” katanya kepada FMT.

Menurut Khalid, beliau memberi arahan tersebut kepada Datuk Bandar Nor Hisham Ahmad Dahlan pada petang Khamis.

FMT sebelum ini melaporkan nasib Kunasegaran yang masih mengharapkan unit sewa PPR selepas bersara pada 2016. Beliau berkhidmat sebagai penjaga jam menara di Bangunan Sultan Abdul Samad selama 42 tahun.

Beliau pernah membuat permohonan rumah PPR Semarak kerana merupakan pengundi kawasan Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun sejak permohonan itu dibuat, Kunasegaran hanya menerima maklum balas “ia dalam pertimbangan” dan selepas itu tiada sebarang respons sehingga hari ini.