Pakai topeng N95 bukannya topeng bedah halang sedut partikel jerebu

Di saat negara berdepan masalah jerebu yang boleh disifatkan sebagai kritikal memerlukan semua orang mengambil inisiatif drastik supaya keadaan ini tidak menjejaskan kesihatan.

Dan ia termasuklah dalam pemilihan topeng muka yang perlu dipakai bagi mengelakkan daripada menghidu udara tidak bersih.

Namun pemilihan topeng muka hendaklah yang betul kerana banyak jenis topeng yang dijual di pasaran.

Topeng muka yang betul adalah jenis N95 dan ini terbukti sudah diuji serta mampu menapis sehingga 95% partikel halus yang berukuran 0.1 mikron dalam udara berjerebu oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Amerika Syarikat.

Ini kerana, asap dan jerebu daripada kebakaran hutan mengandungi bahan partikel halus berbahaya yang bersaiz kurang daripada 2.5 mikrometer.

Jadi, adalah penting untuk kita semua ambil tahu topeng jenis manakah yang paling sesuai dipakai setiap kali jerebu melanda negara kita.

 

Kenapa ramai pakai topeng bedah?

Walaupun setiap tahun jerebu berlaku di Malaysia, namun ia tidak pernah seteruk tahun ini.

Jadi kesedaran semua orang masih di tahap rendah hingga ada yang tidak mengambil berat untuk memakai topeng muka sebelum ini.

Malah ramai yang memilih topeng bedah untuk menutup hidung dan kononnya menghalang udara kotor ini masuk ke dalam badan anda sedangkan hakikatnya ia salah!

Untuk pengetahuan semua dengan memakai topeng jenis berkenaan ketika jerebu untuk jangka masa panjang sebenarnya akan membahayakan diri dengan membenarkan bahan partikel halus bersaiz 2.5 mikrometer memasuki paru-paru dan darah melalui sistem pernafasan seterusnya mengakibatkan pelbagai jenis penyakit paru-paru dan jantung.

Terdapat kesan lain kepada golongan tertentu, antaranya:

Bayi:

Bayi mempunyai risiko kesihatan yang lebih tinggi ketika jerebu kerana sistem pernafasan mereka mudah terdedah kepada kualiti udara yang tidak sihat.

Ia boleh menyebabkan punca penyakit asma atau bronkitis.

Bagi bayi yang umumnya mempunyai keadaan kesihatan yang baik, jerebu mungkin mengganggu hidung, tekak, saluran pernafasan, kulit, mata dan menyebabkan sakit kulit.

Zarah halus dijumpai di dalam jerebu boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru bayi jika kualiti udara mencapai tahap yang kritikal.

Warga tua:

Warga tua terkesan dengan jerebu oleh kerana paru-paru mereka cenderung untuk menjadi lemah.

Mereka mungkin mengalami bersin dan batuk pada tahap yang teruk.

Mereka yang mempunyai penyakit kronik dan paru-paru akan terjejas lebih teruk jika keadaan mencapai tahap kritikal.

Wanita hamil :

Untuk wanita yang hamil jika berterusan menyedut partikel halus jerebu ini dan mempunyai risiko kandungan ia secara tidak langsung boleh menyebabkan keguguran serta-merta.

Bagaimanapun sesiapa sahaja perlu mendapatkan nasihat doktor dengan lebih terperinci jika berhadapan dengan apa jua masalah sepanjang jerebu teruk melanda negara ketika ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]