Pasukan petugas khas siasat sindiket jual MyKad ditubuh

Pengarah JSJ Bukit Aman Huzir Mohamed (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Satu pasukan petugas ditubuhkan bagi menyiasat sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai pasukan itu, beliau berkata, pasukan petugas berkenaan terdiri daripada polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

“Pembentukan pasukan petugas ini mendapat persetujuan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim.

“Polis, JPN dan Imigresen akan bekerjasama dalam pasukan petugas ini bagi membanteras sindiket sedemikian,” katanya.

Semalam Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, beberapa orang lagi kakitangan JPN Pulau Pinang akan ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Selain itu, beberapa pegawai dipercayai terlibat dalam sindiket itu dikenal pasti dan mereka akan ditahan dalam tangkapan fasa kedua.

Pada 11 Sept lepas, polis menahan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Pada hari berikutnya, enam lelaki, termasuk seorang penolong pengarah JPN Pulau Pinang berumur antara 34 dan 66 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.