Penggabungan: UMT kerjasama dengan UniSZA sedia kajian terperinci

Naib Canselor UMT Nor Aieni Mokhtar.

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan bekerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Jabatan Pendidikan Tinggi dalam menyediakan kajian terperinci berkenaan cadangan penggabungan kedua-dua universiti itu.

Naib Canselor UMT, Nor Aieni Mokhtar berkata, UMT akan melaksanakan langkah seterusnya berasaskan keputusan Kabinet.

“Kita akan bergerak, bekerjasama dengan UniSZA dan Jabatan Pendidikan Tinggi untuk menyediakan kajian terperinci dan mencadangkannya kepada kerajaan.

“Bagaimanapun saya memohon semua pihak supaya tidak mempolitikkan perkara ini,” katanya ketika diminta mengulas cadangan penggabungan dua universiti itu selepas hadir ke program gotong-royong membersihkan pantai di Tok Jembal di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Dr Nagulendran Kangayatkarasu dan Karyawan Tamu UMT, Fauziah Latiff.

Nor Aieni bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai hasil pertemuannya bersama Naib Canselor UniSZA Hassan Basri Awang Mat Dahan yang dipanggil menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Khamis lepas.

Pada 4 Sept, pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataa berkata, kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA.

UMT, yang terletak berhampiran dengan UniSZA mempunyai kira-kira 11,000 pelajar, manakala UniSZA 12,262 pelajar.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik baru-baru ini berkata penggabungan itu akan mewujudkan sinergi bagi menjadikannya sebagai pusat rujukan antarabangsa dalam bidang khusus dalam tempoh lima tahun.