PM: Program Barang Asas 100 bantu B40 di bandar, luar bandar

Mahathir Mohamad (dua dari kiri) ditemani Menteri Pembangunan Usahawan Md Redzuan Yusof (kiri) ketika menyempurnakan gimik perasmian Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan Koperasi Sempena 100 tahun pada 2022 di Cyberjaya, hari ini.

CYBERJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengalu-alukan program Barang Asas 100 (BA 100) yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) di bandar dan luar bandar.

Mahathir berkata program BA 100 yang diluluskan pada 29 Ogos lalu merupakan program berteraskan e-dagang yang akan mengumpulkan belian barang asas secara pukal mengikut permintaan kira-kira 3,000 koperasi runcit di seluruh negara.

“BA 100 anjuran bersama Kementerian Pembangunan Usahawan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad dalam sektor pemborongan dan peruncitan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Gerakan Koperasi bersempena hala tuju koperasi sempena 100 tahun pada 2022.

Mahathir juga berkata koperasi perlu menguasai sistem rantaian nilai yang mantap dan ekosistem yang kondusif.

Katanya, ini boleh dilakukan sekiranya koperasi melibatkan diri secara terus dalam aktiviti pembuatan, pembekalan, pengedaran dan perkhidmatan logistik.

“Gerakan Koperasi sebenarnya boleh memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 di bandar dan juga luar bandar bagi menangani peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Mahathir juga mengalu-alukan inisiatif baru Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk menggabungkan koperasi utama dalam sektor pemborongan dan peruncitan dengan menubuhkan koperasi peringkat menengah iaitu Gabungan Angkatan Koperasi Borong dan Runcit (Akrab).

Katanya, Akrab berperanan sebagai pelengkap dalam “co-operative linkages” yang akan membolehkan koperasi menguasai keseluruhan rantaian pengedaran yang efektif khususnya dalam usaha mengurangkan harga barangan melalui pembelian secara pukal dan kemudahan pengedaran yang efisien.

“Inisiatif ini perlu diperkukuh dan diperluaskan lagi melalui jaringan e-Coop Trade Centre yang dapat mengurangkan peranan dan penglibatan orang tengah, sekaligus berupaya menstabilkan harga barangan keperluan di pasaran.

“Bersesuaian dengan cabaran ekonomi digital berikutan Revolusi Industri 4.0, gerakan koperasi perlu mengorak langkah dengan lebih agresif untuk merebut dan menguasai pasaran global melalui platform eCo-op Trade Centre,” katanya.

Mahathir berkata kerajaan mengiktiraf semua pihak yang terlibat dalam gerakan koperasi termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Institut Koperasi Malaysia, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad dan gerakan koperasi khususnya dalam membantu pertumbuhan ekonomi Negara.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawa Md Redzuan Yusof berkata koperasi haruslah menjadi pemacu kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif selaras dengan tema “Koperasi Memacu Keusahawanan Negara”.

Katanya, pemerkasaan gerakan koperasi dalam kalangan B40 dan masyarakat luar bandar, termasuk menggalakkan penubuhan koperasi berasaskan komuniti diberi penekanan di bawah DKN 2030 di bawah Teras Strategik 3, iaitu “Merangsang Pembangunan Keusahawanan Bersepadu dan Holistik”.

“Dalam konteks ini, kapasiti dan keupayaan koperasi dalam sektor ekonomi utama akan ditingkatkan melalui perluasan akses kepada program, bantuan dan peluang perniagaan setara dengan syarikat-syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini,” katanya.