Polis siasat klip video tular bebola daging ‘berinti dadah’

Tangkap layar klip video tular berdurasi satu minit 29 saat memaparkan seorang wanita menghiris bebola daging sebelum mengeluarkan buntil plastik kecil dipercayai mengandungi dadah.

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat satu rakaman klip video menunjukkan buntil plastik yang dipercayai mengandungi dadah disorok dalam bebola daging yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Khalil Kader Mohd berkata, risikan serta siasatan lanjut dijalankan walaupun polis belum menerima sebarang laporan berhubung penularan klip video berkenaan.

“Kami masih belum lagi menerima sebarang laporan berhubung video itu dan hanya mengetahuinya setelah ia tular di laman sosial,” katanya di sini, hari ini.

“Saya beri arahan kepada pegawai untuk buat semakan dan risikan, tetapi kalau dilihat pada video itu, saya tidak pasti sama ada ia berlaku dalam negara atau luar negara,” kata beliau, yang kemudiannya menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil makanan yang ditawarkan oleh individu tidak dikenali seperti yang dipaparkan dalam klip video itu.

Rakaman klip video berdurasi satu minit 29 saat yang baru-baru ini tular di laman sosial itu memaparkan seorang wanita menghiris beberapa bebola daging sebelum mengeluarkan buntil plastik kecil dipercayai mengandungi dadah.

Setiap satu bebola daging didapati mengandungi satu buntil yang dibalut dengan plastik berwarna hijau dan putih.