RM5 bilion dibawa keluar pekerja asing sektor pembinaan setahun, kata CIDB

Ketika ini terdapat 420,000 pekerja asing berdaftar dengan Jabatan Imigresen dalam sektor pembinaan.

KUCHING: Hampir RM5 bilion wang negara mengalir keluar menerusi pekerja asing yang bekerja di sektor pembinaan di negara ini dalam setahun.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, ketika ini terdapat 420,000 pekerja asing yang berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dalam sektor berkenaan.

“Jika mereka menghantar kiriman wang ke luar negara RM1,000 sebulan, kami anggarkan hampir RM5 bilion wang kita mengalir keluar negara,” katanya pada sidang media Jelajah TVET Pembinaan edisi Sarawak di sini hari ini.

Majlis yang julung kali diadakan di Sarawak itu dirasmikan Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Justeru Baru Bian menggesa belia di negara ini untuk menceburkan diri dalam bidang pembinaan yang disifatkannya sudah beralih ke arah revolusi perindustrian (IR 4.0).

“Banyak anak muda kita mempunyai mentaliti bahawa bekerja dalam industri ini adalah melibatkan 3D (dangerous, dirty, difficult), tetapi sekarang kita sedang bergerak ke arah industri 4.0.

“Baru-baru ini saya melawat sebuah kilang di Banting. Kesemua mereka bekerja dalam keadaan berhawa dingin. Ini yang kami sedang promosikan kepada anak muda bahawa industri pembinaan bukan hanya seperti 3D itu sahaja, tetapi berubah mengikut peredaran masa,” katanya pada sidang media yang sama.

Baru Bian berkata, mengikut laporan produktiviti Malaysia yang dikeluarkan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC) pada 2018, industri pembinaan mencapai kadar produktiviti sebanyak 3.4 peratus, iaitu hampir RM44,000 perkapita pekerja.

“Ia adalah satu pencapaian amat memberangsangkan dan berharap dengan program Jelajah TVET Pembinaan yang dilaksanakan oleh CIDB akan terus dipertingkatkan bagi membuka lebih peluang kepada belia, khususnya di Sarawak untuk terus aktif menyumbang inovasi dan kemahiran di dalam industri pembinaan,” katanya.