6 penerbangan di lapangan terbang Ipoh batal akibat jerebu

Antara penumpang yang terkandas akibat jerebu di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, hari ini. (Gambar Bernama)

IPOH: Enam daripada 14 penerbangan yang dijadualkan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) terpaksa dibatalkan pada pagi ini disebabkan jerebu.

Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman berkata penerbangan yang dibatalkan melibatkan laluan Johor Bahru-Ipoh-Singapura dan Singapura-Ipoh-Johor Bahru dari syarikat penerbangan AirAsia serta laluan Singapura-Ipoh-Singapura dari syarikat penerbangan tambang murah Singapura, FlyScoot.

“Jarak penglihatan adalah 2,000m setakat pukul 7 pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 747 penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan pada hari ini.

Pemeriksaan dalam portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua lima stesen di Perak adalah pada tahap tidak sihat setakat pukul 8 pagi.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Kawasan tidak sihat meningkat

Jumlah kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat setakat pukul 8 pagi ini, meningkat kepada 38 kawasan berbanding 18 kawasan bagi tempoh sama, semalam.

Jumlah itu menyaksikan penambahan lokasi di beberapa negeri yang terjejas serta penambahan negeri baru seperti Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Johor dan Terangganu.

Setakat pukul 8 pagi, Kedah menjadi negeri terbaru dengan IPU tidak sihat membabitkan dua kawasan iaitu Sungai Petani (107) dan Kulim Hi-Tech (105) diikuti Perak dengan lima kawasan iaitu Taiping (111), Tasek Ipoh (164), Pegoh Ipoh (145), Seri Manjung (132) dan Tanjung Malim (132).

Kawasan baru dengan IPU tidak sihat termasuk ILP Miri, Sarawak (102); Port Dickson, Negeri Sembilan (104); Alor Gajah, Melaka (104); Segamat, Johor (129); Seberang Jaya , Pulau Pinang (103) dan lima di Pahang iaitu Rompin (114);Temerloh (127); Jerantut (134); Indera Mahkota Kuantan (142); dan Balok Baru Kuantan (135).

Turut menjadi negeri terbaharu kualiti udara tidak sihat ialah Terengganu dengan tiga kawasan membabitkan Kemaman (142), Paka (125) dan Kuala Terengganu (136).

Sementara itu, Sarawak menunjukkan perkembangan baik selepas hanya empat kawasan berada pada paras IPU tidak sihat pagi ini, iaitu Miri (107); Sri Aman (183); Kuching (139); dan Samarahan (136) berbanding lapan kawasan, semalam.

Kekal dengan IPU tidak sihat sejak semalam, adalah dua kawasan di Kuala Lumpur iaitu Cheras dan Batu Muda masing-masing dengan bacaan IPU 153 dan 173, sementara Putrajaya (138) diikuti Minden (140) dan Balik Pulau (151) di Pulau Pinang.

Turut kekal dengan IPU lebih 100, Tangkak, Johor (106) dan enam kawasan di Selangor iaitu Johan Setia Klang (193); Kuala Selangor (152), Petaling Jaya (148); Shah Alam (143); Klang (131); dan Banting (116), diikuti Negeri Sembilan melibatkan Nilai (140) dan Seremban (124).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.