Fenomena vape pod: Pilihan berbahaya generasi muda masa kini!

Setiap kali anda berjalan melalui ruangan merokok, cuba jeling sekeliling sebentar.

Sudah pasti anda dapat lihat kepulan asap yang sangat banyak ibarat hembusan nafas sang naga datangnya daripada pelbagai punca.

Mungkin anda tidak akan terkejut jika melihat penagih nikotin ini menghisap rokok tembakau atau rokok elektronik mekanikal.

Pun begitu, mungkin anda akan sedikit hairan jika mereka kelihatan menghisap objek yang kecil seakan pen atau pemacu kilat USB namun masih mengeluarkan asap.

Buat anda yang tertanya-tanya, inilah trend merokok masa kini yang dikenali sebagai vape pod.

Persoalannya, apakah ia sebenarnya dan adakah ia satu alternatif rokok yang kurang berbahaya?

Apa itu vape pod?

Tidak ada takrifan sebenar mengenai asal usul perkataan “pod” ini, namun ia satu nama yang diberi untuk menggelar sebuah alat merokok dengan sistem isian cecair yang mengandungi nikotin dan perisa.

Mungkin ia agak sama dengan vape, namun apa yang membezakannya dari segi saiz yang jauh lebih kecil dan cara penjagaannya yang jauh lebih mudah, disebabkan itu ia juga dikenali sebagai “vape mini”.

Disebabkan itu, ia sangat senang untuk dibawa ke mana-mana.

Simpan sahaja di poket seluar atau di kocek baju, dan vape pod ini akan setia menemani anda.

Ini – satu manfaat kepada penghisapnya, kerana anda boleh menghisapnya di mana sahaja tidak kira restoran, pejabat mahupun sekolah!

Buat bukan penghisapnya, ini merupakan satu mudarat yang agak sukar untuk dibendung kini.

Pilihan berbahaya generasi muda masa kini

Lambakan perisa vape pod faktor utama ramai perokok mula beralih kepadanya.

Daripada buah, kopi, susu dan pelbagai lagi pilihan lain mengikut cita rasa anda.

Selain itu, asapnya yang kurang tebal berbanding vape mekanikal juga memainkan faktor yang penting.

Golongan pekerja pejabat sangat menggemarinya kerana ia tidak akan meninggalkan bau yang kuat pada mulut atau pakaian.

Saiznya yang kecil dan boleh disimpan di mana-mana dalam pakaian anda membuatkan ia juga mudah untuk disorok.

Jadi, vape pod kini juga telah menjadi pilihan murid sekolah!

Selain itu, pengawalan penjualannya juga tidak begitu ketat seperti rokok tembakau yang mewajibkan anda berusia 18 tahun terlebih dahulu sebelum layak untuk membelinya.

Ini sangat merisaukan golongan guru, ibu bapa dan masyarakat sekeliling kita.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa vape pod tidak berbahaya seperti rokok tembakau atau rokok elektronik yang lain dan juga merupakan alternatif dalam usaha untuk berhenti merokok.

Namun jangkaan ini sama sekali meleset.

Ini kerana nikotin dan bahan kimia lain yang terkandung di dalamnya juga berbahaya kepada kesihatan anda dan membuatkan anda terus ketagih dengannya.

Menurut kajian yang dilakukan oleh National Academies Press (NAP) pada 2018, nikotin yang terkandung di dalam cecair isian vape ini boleh melajukan degupan jantung.

Selain itu, pengambilannya juga boleh meningkatkan tekanan darah.

Kedua-dua kesan ini akhirnya akan menjejaskan kesihatan jantung dalam jangka masa panjang.

Kesimpulannya, kepercayaan yang mengatakan vape pod ini lebih baik berbanding rokok tembakau atau rokok elektronik sama salah sekali.

Bukan sahaja ia sama teruk, bahkan juga boleh jadi lebih teruk.

Jadi, buat perokok di luar sana tidak kira apa-apa jenis sekalipun, tiada alternatif yang kononnya selamat buat anda.

Sebaiknya, anda lupakan sahaja untuk hobi anda untuk menghembuskan asap bak hembusan nafas sang naga dan jalani kehidupan dengan lebih sihat dengan berhenti merokok.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]