Kenapa semua kesan tembakan insiden Batu Arang pada muka, dada, soal peguam
Pada 14 Sept tiga lelaki dipercayai penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Batu Arang, Rawang.
PETALING JAYA: Menteri dalam negeri dan ketua polis negara digesa menjelaskan mengenai kesan tembakan yang tertumpu hanya pada bahagian dada dan muka mangsa dalam kejadian tembak-menembak di Batu Arang, Rawang baru-baru ini.
Peguam P Uthayakumar, yang mewakili keluarga tiga lelaki berkenaan berkata, tidak ada sebarang kesan tembakan di bahagian kaki mangsa, sebaliknya kesemua kesan tembakan disasarkan ke bahagian atas badan.
Ini katanya, bertentangan dengan kenyataan polis bahawa tangkapan yang cuba dibuat tidak bertujuan membunuh.
“Kesan tembakan bagi V Janarthanan dan S Mahendran adalah di bahagian dada, manakala G Thavaselvan pula di bahagian kepala, iaitu muka. Terdapat kesan lebam pada bahagian kepala, badan, tangan yang patah dan satu batang gigi yang pecah pada tubuh Thavaselvan.
“Ia seperti diberitahu kepada kami oleh balu lelaki terbabit pagi ini selepas mayat dibawa pulang ke kediaman asal di Taman Metropolitan, Kuala Lumpur dari rumah mayat di Sungai Buloh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kejadian tembak-menembak itu berlaku pada jam 5 pagi 14 Sept lalu, apabila sebuah kereta peronda polis mengarahkan sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki, iaitu warga Sri Lanka, Janarthanan Vijayaratnam, abang iparnya, Thavaselvam dan Mahendran Santhira Segaran supaya berhenti di Bandar Country Homes, Rawang.
Tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata dan pecah rumah itu maut dalam kejadian berbalas tembakan yang berlaku selepas itu di KM22, Jalan Batu Arang.
Polis kemudiannya menemui dua pucuk pistol separuh automatik, tiga bilah parang serta tiga sarung muka.
Polis berkata, Thavaselvam dan Mahendran dikehendaki kerana merupakan ahli kongsi gelap 08 di Rawang, manakala Vijayaratnam tinggal melebihi tempoh visa.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, Kabinet meminta Peguam Negara Tommy Thomas mengkaji kemungkinan mengadakan inkues ke atas kejadian berbalas itu selepas timbul beberapa versi mengenainya.
Uthayakumar berkata, menerusi surat dikirimkan kepada ketua polis negara pada 17 September dan 20 September, beliau sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai seorang individu, Moganambal yang tidak terbunuh dalam tembak menembak itu dan kini gagal dikesan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau berkata, pihaknya juga belum menerima beberapa laporan, termasuk rakaman kamera papan pemuka kereta (dash cam), laporan kejadian dan laporan berkaitan.