
SUNGAI BULOH: Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Sivarasa Rasiah mengharapkan peruntukan belanjawan lebih besar bagi membantu 25 daerah paling miskin di Malaysia, dengan Kelantan merupakan negeri paling miskin di semenanjung.
Beliau berkata, sebahagian daripada kampung di daerah ini tidak mempunyai bekalan air bersih dan mendapat bekalan elektrik sekejap-sekejap.
“Di sesetengah daerah, beratus-ratus kampung bergantung pada air dari bukit,” katanya kepada FMT, di luar mesyuarat agung tahunan PRK bahagian Subang.
Sivarasa, yang mengetuai PKR Subang berkata, majoriti rakyat yang berdaftar di negeri miskin terbabit merupakan orang Melayu, dan sangat memerlukan kemudahan infrastruktur dan kemahiran yang bersesuaian bagi menambah pendapatan mereka.
Malaysia dibahagikan kepada 200 daerah, katanya.
Tujuh daerah di Kelantan, dua di Kedah, satu di Pahang, lima di Sabah dan 10 di Sarawak disenaraikan sebagai paling miskin.
Justeru katanya, kementerian berharap akan memperoleh peruntukan lebih besar tahun depan berbanding RM4.1 bilion yang diperuntukkan tahun lepas kerana “banyak kerja perlu dilakukan di Sabah dan Sarawak juga”.
“Wujud jurang infrastruktur yang besar di daerah miskin ini. Mereka perlukan jalan lebih baik, bekalan elektrik, pekerjaan dan kemudahan jalur lebar.”
Beliau berkata, kerajaan juga bercadang menawarkan program bagi menjana pendapatan, seperti kemahiran keusahawanan untuk memulakan perniagaan dan membantu penduduk memperoleh peralatan untuk perniagaan mereka.
“Kita tidak akan beri wang tunai. Sebaliknya kita berikan kelengkapan yang diperlukan untuk maju,” katanya.
PKR akan jadi parti untuk semua rakyat
Dalam pada itu, timbalan speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon memberitahu FMT, sebagai sebuah parti berbilang kaum, PKR tidak akan mengetepikan mana-mana kaum dan akan mengendurkan ketegangan yang berkait dengan kaum.
Katanya, PKR akan terus berusaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia melalui dasar berdasarkan keperluan, walaupun sentimen kaum dan agama semakin meningkat dalam kalangan orang Melayu.
“Kita akan terus menghormati perpaduan melalui kemakmuran bersama, kata ketua PKR Batu Pahat itu sewaktu merasmikan mesyuarat tersebut.
Rashid berkata, Parlimen juga akan memainkan peranan lebih besar dalam menganjurkan persidangan antarabangsa mengenai kemiskinan, pendidikan, hak kanak-kanak, hak asasi manusia, rasuah dan pembangunan mampan.
“Input ini akan disalurkan kepada penyelidik di Parlimen dan disebar lebih luas kepada jawatankuasa khas Parlimen dan kementerian berkaitan untuk pemeriksaan lanjut.”
Katanya, ia dijalankan di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.
“Pada era Barisan Nasional, hanya satu persidangan diadakan setiap tahun. Setakat ini, kita telah adakan tiga dan bercadang menganjurkan lebih banyak tahun depan.”