Pertikaian tanah halangan besar pembangunan semula Kg Baru

Kerajaan bercadang untuk membangunkan semula Kampung Baru yang terletak di lokasi utama Segitiga Emas bandar raya Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Kampung Baru, salah satu daripada petempatan orang Melayu tertua di Malaysia berdepan banyak “masalah lama” yang tidak akan berakhir dengan tawaran terbaru kerajaan sebanyak RM850 sekaki persegi, kata badan pentadbir kawasan berkenaan.

Setiausaha kehormat Lembaga Pentadbir Petempatan Pertanian Melayu Kampung Baru (MAS) Shamsuri Suradi menggesa kerajaan menjalankan satu kajian kebolehlaksanaan sebelum meneruskan rancangan besarnya.

Sebahagian pemilik tanah telah meninggal dunia, sementara yang lain terlibat pertikaian harta pusaka selama beberapa puluh tahun, dan sebilangan yang lain tidak memiliki geran tanah yang berdaftar, katanya.

Seramai 5,374 pemilik memiliki 846 lot tanah persendirian yang terletak bersebelahan dengan mercu tanda terkenal iaitu Menara Berkembar Petronas.

“Ia bukan kerja mudah kerana sebilangan pemilik telah meninggal dunia dan pertikaian antara anggota keluarga terus berlaku,” katan Shamsuri kepada FMT.

Beliau juga bertanya apakah rancangan kerajaan berhubung lot tanah yang tidak mempunyai geran.

Shamsuri Suradi.

Shamsuri berkata, sesetengah pemilik membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membina rumah tiga atau empat tingkat mereka dan kerajaan perlu memberi pampasan secukupnya.

“Mereka membuat pinjaman dan akan menanggung beban hutang yang besar sekiranya kerajaan tidak menawarkan pampasan yang sesuai,” katanya.

Shamsuri meminta Putrajaya menjalankan kajian dan menyenaraikan setiap masalah, bertemu pemegang taruh, termasuk MAS sebelum meneruskan rancangannya atau ia akan berdepan dengan “tugas berat bagi menyelesaikan masalah tersebut”.

Bekas ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani menjangka kerajaan akan berdepan dengan respons negatif daripada pemilik tanah.

“Pemilik tidak akan jual pada harga RM850 sekaki persegi. Ia bergantung pada kedudukan tanah mereka,” katanya kepada FMT.

Semalam Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengadakan satu sesi bertemu penduduk dan waris Kampung Baru bagi mendapatkan maklum balas mereka dan mengemukakan tawaran harga baru serta rancangan pembangunan.

Bagaimanapun sebilangan waris berkata, mereka tidak akan menerima mana-mana tawaran di bawah harga RM1,000 sekaki persegi.

Kampung Baru diwartakan pada 12 Jan 1900. Ia meliputi kawasan seluas 120 hektar, iaitu kira-kira tiga kali ganda saiz tanah KLCC, dan terdiri daripada enam kampung yang bersambung.

Enam kampung itu adalah Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas (A dan B), Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah.

Khalid mahu memuktamadkan urus niaga itu dengan melibatkan semua pihak bagi mengesahkan rancangan pembangunan semula yang dirangka menjelang tarikh akhir yang ditetapkan kementeriannya iaitu Jun tahun depan.

Kementerian itu juga mahu pemilik geran menandatangani perjanjian jual beli menjelang Sept 2020.

Beliau juga berkata, satu penilaian berasingan akan ditawarkan untuk bangunan yang didirikan di tanah terbabit.