PTPTN sasar deposit SSPN lebih RM1 bilion tahun ini

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan.

ALOR GAJAH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melipatgandakan usaha bagi menarik lebih ramai majikan membantu pekerja mereka membayar tunggakan pinjaman berkenaan pada masa akan datang, kata pengerusinya Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, usaha itu termasuk memperkemas maklumat tepat dan jelas kepada majikan, khususnya berkaitan pelepasan cukai yang diberikan kerajaan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

Setakat ini secara purata, jumlah majikan yang membayar tunggakan pinjaman pekerja sangat rendah, iaitu hanya enam majikan melibatkan 10 peminjam atau pekerja dengan jumlah bayaran yang dijelaskan RM97,873.59.

“Perkara ini masih baru dan maklumat berkaitannya dalam kalangan majikan amat rendah, terutama pelepasan cukai yang mereka peroleh sekiranya membayar tunggakan pinjaman pekerja masing-masing.

“Jadi kita dalam proses untuk berkempen agar lebih ramai majikan dapat terlibat dalam usaha ini, terutama membantu pekerja berpendapatan rendah membayar pinjaman PTPTN,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 di sini, hari ini.

Wan Saiful berkata, inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban pekerja dalam aspek pembayaran semula pinjaman PTPTN, tetapi dapat memberi motivasi kepada mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada majikan dan syarikat.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, PTPTN menyasarkan untuk mendaftarkan 500,000 pemegang akaun SSPN dengan jumlah deposit melebihi RM1 bilion, tahun ini.

Ini katanya adalah susulan kejayaan agensi itu pada tahun lepas yang merekodkan 678,829 pemegang akaun dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM1.13 bilion

“Bagi tempoh Januari sehingga 31 Julai lepas, SSPN merekodkan sebanyak 256,135 pemegang akaun dengan jumlah deposit sebanyak RM477.25 juta,” katanya.

Beliau berkata, SSPN merupakan produk yang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat serta menyifatkannya perkembangan yang baik dan berharap kesedaran menabung dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

Sejak diwujudkan pada 2004 dan sehingga 31 Julai lepas SSPN merekodkan 4.2 juta akaun dengan deposit berjumlah RM5 bilion, di seluruh negara.

Program Jelajah SSPN yang bertujuan untuk membuat hebahan kepada masyarakat berkaitan budaya penabungan bagi pendidikan tinggi, berlangsung selama dua bulan mulai bulan lepas membabitkan 12 lokasi di Semenanjung, 11 lokasi di Sabah dan 10 di Sarawak.