Firma kembara tertua dunia Thomas Cook runtuh, beribu pelanggan terjejas

Gambar Reuters.

LONDON: Thomas Cook, syarikat pengembaraan tertua di dunia, runtuh hari ini, menyebabkan ratusan ribu pelancong di seluruh dunia terjejas selepas usaha terakhir menyelamatkan syarikat itu gagal.

Syarikat itu mengendalikan perkhidmatan penginapan hotel, resort dan penerbangan bagi 19 juta pelancong setahun di 16 negara, menjana pendapatan sebanyak 9.6 bilion pound sterling (hampir RM50 bilion) pada 2018.

Reuters melaporkan syarikat itu mempunyai 600,000 pelanggan di luar negara pada masa sekarang, termasuk lebih 150,000 rakyat Britain.

Thomas Cook menggaji 21,000 orang dan merupakan syarikat pengembaraan tertua di dunia, ditubuhkan pada 1841. Syarikat itu mempunyai hutang 1.7 bilion pound sterling (RM8.75 bilion).

Katanya, kerajaan British telah meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam UK untuk menggerakkan program membawa balik pelanggan ke UK dalam tempoh dua minggu, mulai hari ini hingga 6 Okt.

“Memandangkan skala terlibat adalah signifikan, beberapa gangguan tidak dapat dielakkan, tetapi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam akan berusaha untuk membawa balik kesemua orang pada tarikh yang dirancang,” katanya.

Sebuah pesawat akan digunakan untuk membawa pulang warganegara Inggeris. Di beberapa destinasi, penerbangan komersial akan digunakan sebagai altenatif.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam telah melancarkan laman web khas, thomascook.caa.co.uk, di mana pelanggan yang terjejas dapat memperoleh maklumat mengenai penerbangan penghantaran pulang.

Bagi pelanggan yang tidak terbang dari Britain, alternatif akan disediakan.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Thomas Cook, Peter Fankhauser berkata keruntuhan syarikat tersebut merupakan “satu perkara yang menyedihkan”.

Mengulas mengenai langkah syarikat itu ke arah penggulungan operasi syarikat, Fankhauser dipetik BBC, juga meminta maaf kepada “berjuta-juta pelanggan, dan beribu-ribu pekerja” firma itu.

Setiausaha Pengangkutan Britain, Grant Shapps berkata nasib syarikat itu “satu khabar yang amat menyedihkan kepada pekerja dan pelanggannya”.

Katanya, syarikat dan CAA telah menyewa puluhan pesawat untuk membawa balik pelanggan tanpa mengenakan sebarang bayaran.