Hong Kong: Perusuh serbu pusat beli belah, rosak stesen metro

Stesen MTR Hong Kong, termasuk stesen Sha Tin, Tsing Yi, Kowloon, Kwai Fong, Mong Kok dan Prince Edward terpaksa ditutup selepas perusuh merosakkan kemudahan di situ, Ahad. (Gambar AFP)

HONG KONG: Penunjuk perasaan di sini bertindak ganas sekali lagi pada Ahad dengan menyerbu sebuah pusat beli-belah yang sibuk, mencemarkan bendera kebangsaan China, memukul orang awam, merosakkan stesen metro dan mencetuskan kebakaran di jalanan, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam perkembangan terkini keganasan yang berlanjutan selama sebulan di hab kewangan Asian itu, penunjuk perasaan radikal pada Ahad tengah hari memusnahkan kemudahan di New Town Plaza di Sha Tin yang terletak di Wilayah Baharu Hong Kong.

Beberapa kedai terpaksa ditutup awal selepas diganggu penunjuk perasaan yang melaungkan slogan serta menampal bahagian luar premis terbabit dengan nota melekit yang menuduh pemiliknya mempunyai latar belakang Tanah Besar China atau memihak kepada polis Hong Kong.

Beberapa penunjuk perasaan radikal bertindak memijak bendera kebangsaan China dalam sebuah pusat beli-belah, menconteng bendera sebelum membuangnya ke dalam sungai berhampiran.

Beberapa stesen Keretapi Transit Massa (MTR), termasuk Sha Tin, Tsing Yi, Kowloon, Kwai Fong, Mong Kok dan Prince Edward terpaksa ditutup selepas perusuh bertindak mengetuk lawang putar, memecahkan mesin tiket dan menyembur air ke eskalator untuk mengancam keselamatan penumpang.

Di stesen Sha Tin, seorang lelaki dibelasah sehingga terjatuh oleh perusuh dan mukanya dipenuhi darah serta lebam teruk.

Perusuh bertopeng bertindak membina sekatan dan mencetuskan kebakaran di Jalan Yuen Wo di Sha Tin sebelum pasukan polis tiba untuk menyuraikan orang ramai.

Perusuh kemudian berundur ke sebatang jalan lain dan membaling bom petrol serta batu bata ke arah polis, yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Sejak Jun, Hong Kong menyaksikan keganasan memuncak berpunca daripada bantahan terhadap cadangan pindaan bagi ordinans yang membabitkan pemindahan pesalah dalam buruan.

Meskipun kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) menarik balik pindaan itu, keganasan terus berlaku apabila penunjuk perasaan berpaling daripada agenda asalnya dengan merusuh, yang menyebabkan perpecahan berlaku dalam masyarakat dan mengakibatkan ekonomi terjejas teruk.