Lelaki didakwa bunuh kerana tikam rakan mahu tuntut hutang

Gambar fail.

GEORGE TOWN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh kerana menikam rakannya yang menuntut hutang daripadanya sehingga mati.

Moharizmi Azli, 35, didakwa membunuh Mohamad Nurulhudin Ismail, 31, kira-kira 11.30 malam pada 15 September lalu di menara jam di luar Kompleks Bukit Jambul, Jalan Rumbia.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan kerana ia adalah pertuduhan membunuh.

Majistret, Umma Devi Loganathan menetapkan 11 November ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Polis dilaporkan berkata, sebilah pisau sepanjang 28cm yang digunakan dalam pembunuhan itu, dijumpai seorang wanita kira-kira 70m dari tempat kejadian.

Penyiasat berkata, pertengkaran berlaku antara Moharizmi dan Nurulhudin disebabkan hutang yang belum dilangsaikan. Kejadian tikam itu dirakamkan kamera litar tertutup awam.

Katanya, Moharizmi yang lebih dikenali sebagai “Mi Sabah” didakwa menikam Nurulhudin di dada kanannya.