Masjid ‘Taj Mahal’ Malaysia, berwarna emas tumpuan terbaru pengunjung

Tahukah anda, terdapat sebuah masjid yang baru sahaja dibina dan menerima beberapa gelaran daripada orang ramai termasuklah Taj Mahal, Masjid Nabawi dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah kerana keunikan hasil seni binanya.

Hasil rekaannya sangat mempesonakan bagi sesiapa sahaja yang mengunjungi ke masjid tersebut yang dibina dengan kos lebih RM100 juta.

Masjid yang dimaksudkan ialah Masjid Sri Sendayan terletak di Bandar Baru Sendayan, Negeri Sembilan yang dibuka sejak Jumaat lalu.

Ukiran kayu dinding di dewan solat, penggunaan saduran berwarna emas, tulisan khat serta penggunaan bongkah jubin sebagai dinding berhampiran mimbar yang merupakan hasil seni arkitek yang dibawa hampir sepenuhnya dari luar negara seperti Mesir, Turki, Dubai, Maghribi dan China.

 

Masjid yang mula dibina pada tahun 2015 di atas tanah seluas 4.5 ekar melalui konsep wakaf itu menyaksikan seni binanya bercirikan negara Timur Tengah yang dilihat sangat solid serta begitu indah.

Masjid yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Seremban itu, diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Abd Rashid Hussain.

 

Sebelum ini beliau pernah mendirikan Masjid A’isyah di Sungai Mengulu, Pulau Langkawi dan dinamakan atas nama ibunya.

Kemudian, beliau mendirikan pula Masjid Hussain yang dinamakan sempena nama ayahnya atau lebih dikenali sebagai Masjid Putih di Seremban 2 dengan kos RM22.6 juta pada tahun 2012.

Selain itu, masjid ini terletak di kawasan berkeluasan 4.5 hektar dan mempunyai tiga dewan solat iaitu dewan solat utama yang mampu memuatkan seramai 5,000 jemaah, dewan solat kedua mampu memuatkan 800 jemaah dan dewan solat wanita mampu memuatkan seramai 800 jemaah.

Bukan itu sahaja, masjid turut dilengkapi dengan bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna, bilik pengurusan jenazah, bangunan pentadbiran, dewan makan, enam unit rumah sebagai kediaman petugas masjid serta mempunyai pusat untuk anak-anak yatim yang boleh menempatkan 52 penghuni dan turut dilengkapi bilik ulangkaji serta dewan makan.

Sementara itu, arkitek yang bertanggungjawab membina masjid itu, Zailan Yusop, 57, berkata, seni bina Masjid Sri Sendayan itu adalah campuran seni bina beberapa masjid dari negara Timur Tengah dan hiasan tulisan khatnya ditulis oleh tokoh khat paling agung di dunia dari Turki iaitu Sheikh Hassan Celebi.

Beliau juga beberapa kali terbang ke Istanbul, Dubai dan Turki dengan Abd Rashid hanya untuk mencari ilham.

“Sepanjang 30 tahun bergelar arkitek, ini adalah projek paling istimewa saya seperti satu love story. Terima kasih Tan Sri kerana beri kepercayaan pada saya,” katanya memetik laporan sinar.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]