Putrajaya tangguh laksana permit masuk kenderaan dari Singapura

Kementerian Pengangkutan berkata, sebuah lagi Pusat Fitmen bagi pemasangan tag VEP-RFID akan dibuka di pejabat JPJ di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Abu Bakar sebagai tambahan kepada empat Pusat Fitmen sedia ada. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP) di semua laluan keluar di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB) serta Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru pada waktu trafik puncak ditangguhkan sehingga notis baru dikeluarkan.

Kementerian Pengangkutan berkata, penangguhan itu dibuat berikutan beberapa isu yang dibawa ke pengetahuan kementerian, terutamanya berkaitan kesukaran mendapatkan janji temu untuk pemasangan tag VEP-RFID pada kenderaan.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan membuka satu lagi Pusat Fitmen (FC) bagi pemasangan tag VEP-RFID di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di KSAB (aliran trafik keluar ke Singapura) sebagai tambahan kepada empat FC sedia ada.

“Pemilik (kenderaan asing) boleh mendapatkan tag VEP-RFID mereka dipasang di FC ini setelah semua persiapan pembukaan selesai. Tarikh operasi FC tambahan ini akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian itu meminta pemilik kenderaan asing segera mendaftar dan mendapatkan tag VEP-RFID bagi mengelakkan sebarang kesulitan untuk masuk dan keluar dari Malaysia pada masa depan.

Kementerian Pengangkutan berkata, pemilik kenderaan asing boleh mendaftar melalui portal https://vep.jpj.gov.my dan memasang tag VEP-RFID di empat FC sedia ada, iaitu Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) arah selatan Gelang Patah, tempat letak kenderaan terbuka Plaza Angsana, RnR Pandan dan Plaza Tol Lima Kedai.

“Kementerian turut mengambil langkah mengemas kini sistem dan memastikan kelancaran proses pendaftaran semua pemilik kenderaan asing.”

Pemilik kenderaan asing diberikan enam bulan untuk menyelesaikan proses pendaftaran yang akan berakhir bulan depan, selepas pendaftaran VEP dibuka April lalu.

Kementerian Pengangkutan berkata, Seksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987 menetapkan mana-mana orang yang memandu kenderaan asing ke Malaysia hendaklah memohon VEP.

VEP adalah komponen penting dalam usaha kerajaan menangani masalah pemilik kenderaan asing melanggar undang-undang jalan raya dan isu pihak tidak bertanggungjawab membawa kenderaan curi atau tidak sah pendaftaran merentasi sempadan negara.

“VEP membolehkan JPJ memiliki keupayaan untuk menyimpan rekod dan memantau kenderaan bermotor asing yang bergerak masuk dan keluar negara, seterusnya mencapai objektif utama peruntukan undang-undang ini.”

Untuk maklumat lanjut dan terperinci mengenai VEP, orang ramai boleh menghubungi talian +607-5950669, atau e-mel kepada [email protected].