Rakaman ‘wanita hilang’ dalam kes tembak mati di Rawang muncul

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita, yang dikenal pasti sebagai Moganambal Govindasamy, yang dikatakan hilang selepas kejadian berbalas tembakan pada 14 Sept.

KUALA LUMPUR: Rakaman CCTV memaparkan seorang wanita yang kehilangannya diperkatakan selepas kejadian tembakan di Batu Arang minggu lepas muncul, dalam apa yang dikatakan peguam keluarga sebagai bukti menunjukkan dia bersama tiga lelaki terbabit beberapa jam sebelum kematian mereka.

Peguam P Uthayakumar berkata rakaman itu menunjukkan Moganambal Govindasamy, didakwa sebagai orang keempat dalam kereta bersama suami, V Janarthanan dan dua lelaki lain.

“Ini bukti dia pergi bersama mereka. Di mana dia sekarang?” katanya ketika ditemui di upacara pengebumian Janarthanan dan seorang lagi yang terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan pada 14 Sept.

Rakaman yang dikeluarkan oleh Uthayakumar itu menunjukkan seorang wanita meninggalkan elevator di pangsapuri The Henge di Kepong pada 10.33 malam pada 13 Sept, beberapa jam sebelum kejadian tembakan, bersama suaminya, Janarthanan dan dua lelaki lain.

Dalam kejadian itu, Janarthanan, seorang warga Sri Lanka, adik iparnya, Thavaselvan Govindasamy iaitu adik kepada Moganambal, dan Maghendran Santhira Segaran ditembak mati.

Polis berkata mereka enggan berhenti apabila diarah berbuat demikian di Bandar Country Homes, Rawang sebelum kejar-mengejar sejauh 7km yang berakhir di Batu Arang.

Bapa Moganambal, Govindasamy mendakwa anak perempuannya berkata tiga lelaki berkenaan semasa kejadian.

Polis Selangor menafikan terdapat seorang wanita dalam kejadian tembakan itu.