Adun Paya Jaras nafi ‘hilang’ ketika perobohan rumah penduduk

Adun Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Adun Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman menafikan dakwaan beliau menghilang diri ketika perobohan rumah penduduk di Paya Jaras, sebaliknya mendapat nasihat daripada pihak keselamatan untuk tidak ke kawasan berkenaan.

Beliau juga mempersoalkan apa yang akan berlaku jika beliau turun ke kawasan perobohan rumah di Kampung Sungai Kedondong dalam keadaan mangsa perobohan beremosi yang turut dihadiri bekas perdana menteri Najib Razak baru-baru ini.

“Saya agak tidak berapa gembira berita tersebut. Saya dapat nasihat pegawai keselamatan untuk tidak lagi turun ke kawasan kejadian. Tetapi ada hantar agensi Lembaga Zakat Selangor (LKZ) untuk bertemu dengan penduduk terbabit.

“Saya juga ada bertemu dan berkomunikasi dengan keluarga penduduk terlibat serta persatuan penduduk,” katanya dalam temubual secara langsung melalui Utusan Online.

Pada 20 Sept lalu, Najib yang membuat lawatan dan berjumpa dengan bekas penghuni perumahan terbabit mempersoalkan ketidakhadiran Khairuddin di lokasi kejadian walaupun dimaklumkan beliau pernah menghantar surat kepada menteri besar Selangor bagi membantah perobohan rumah tersebut.

Lebih 30 buah rumah di tanah rizah Sungai Kedodong dirobohkan pada 19 September bagi meneruskan projek pelebaran sungai yang sudah dirancang sejak 2008 tetapi ditangguhkan susulan rayuan penduduk.

Khairuddin menjelaskan pada 2015 hingga 2016, beliau mempertahankan penduduk kerana ketika itu mereka belum ditawarkan Rumah Selangorku sebagai pampasan kepada perobohan tersebut.

Namun, katanya, penduduk kini sudah mendapat tawaran Rumah Selangorku setelah mendapat persetujuan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau juga menjelaskan kawasan Paya Jaras terletak dalam kawasan Shah Alam dan sekiranya penduduk terbabit mahu rumah segera, mereka boleh mendapatkan Rumah Selangorku di Semenyih, Hulu Klang dan Rawang.

“Tidak ada isu ‘sailang’ antara kerajaan negeri dengan penduduk. Jika mereka nak rumah dengan cepat kita boleh beri tetapi ada yang tak nak sebab jauh dari kawasan asal.

“Mana ada rumah yang cepat siap di kawasan Shah Alam dan kena ingat nak dapat Rumah Selangorku bukan senang mesti melalui proses dalaman. Tetapi kes perobohan ini, kerajaan negeri beri pertimbangan,” katanya.

Mangsa banjir

Khairuddin juga berkata isu perobohan itu perlu dilihat kepada dua pihak iaitu mangsa perobohan dan mangsa banjir.

Katanya, jika media bertanya kepada mangsa banjir beliau yakin 99 peratus daripada mereka menyokong projek pelebaran Sungai Kedondong.

“Empat Kampung terkena iaitu Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu terpaksa mengharungi masalah banjir. Ini bukan perkara baru tetapi sudah lama.

“Kalau nak ambil sikap nak selesaikan dalam jangka masa panjang yang melibatkan ribuan orang kita perlu tegas.

“Di atas tanah itu, bukan nak buat kondominium atau kompleks besar tetapi nak besarkan sungai nak elakkan banjir,” katanya.

Khairuddin berkata jika ditanya mengenai sikap kemanusiaan, beliau berkata tiada wakil rakyat suka melihat penduduk susah.

Katanya, dua notis sudah dikeluarkan sejak 2016 dan yang terakhir 18 Sept lepas.

“Pejabat Daerah sudah bagi notis 30 hari untuk kosongkan perumahan mereka dan sudah 20 penduduk terbabit kosongkan.

“Kita juga tidak merobohkan rumah yang anak mereka masih ada peperiksaan selepas berjumpa dengan wakil penduduk yang membuat permintaan itu,” katanya.

Khairuddin berkata jika mengikut perancangan asal sebanyak 182 rumah perlu dirobohkan tetapi selepas Jabatan Pengairan Sungai mengecilkan reka bentuk asal mereka menjadi hanya 92 rumah yang terkesan.

Katanya, setakat ini 36 rumah dirobohkan dan kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk bertenang dan berbincang dengan penduduk untuk cari penyelesaian.

“Tetapi kita tetap akan teruskan projek lebarkan Sungai Kedondong untuk selesaikan masalah banjir,” katanya.