Kerajaan bincang dengan Bank Negara, KWSP laksana tuntutan nafkah diputus mahkamah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.

NILAI: Kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan Bank Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan perintah Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah dapat dikuatkuasakan dengan sempurna.

Rundingan itu diadakan kerana keputusan mahkamah melibatkan akta dan undang-undang lain yang menyebabkan ia sukar dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata, setakat ini, beberapa siri rundingan yang dijalankan menunjukkan maklum balas positif.

“Rundingan ini dibuat melalui jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Mohd Na’im Mokhtar.

“Kita sedang berunding dengan pihak berkepentingan seperti Bank Negara di bawah Akta Kewangan dan KWSP di bawah Akta KWSP kerana sesuatu perintah atau keputusan mahkamah kelak akan membabitkan transaksi kewangan.

“Ia (rundingan) juga bagi menentukan bagaimana keputusan mahkamah yang sudah dibuat adalah terikat dan mahkamah boleh mengambil tindakan, sekiranya sesuatu perintah itu tidak dipatuhi.

“Alhamdulillah, dalam empat, lima kali libat urus dengan pihak pemegang kepentingan ini saya telah menerima maklum balas positif,” katanya selepas Seminar Kebangsaan Solusi Hadhanah Mahkamah Syariah (Muqarrar) 2019 di Universiti Sains Islam Malaysia hari ini.

Mujahid berkata, demi kepentingan Mahkamah Khas Hadhanah ini juga, pihaknya sudah menghantar rombongan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia ke Australia bagi membolehkan mereka mengkaji dan bertukar pandangan dengan Mahkamah Keluarga di sana.

“Rombongan ini dipimpin Na’im untuk mereka bertukar pendapat dengan Mahkamah Keluarga Australia memandangkan mahkamah ini mempunyai piawaian agak baik. Hasil dari pengkongsian pengalaman ini nanti mungkin kita boleh lihat bagaimana untuk kita menambah baik Perlembagaan yang ada dalam negara.”

Mengulas seminar hari ini, Mujahid berkata, melalui kertas kerja yang dibentangkan hari ini, ia mungkin dapat dijadikan input bagi kerajaan menyelesaikan isu berkaitan tuntutan hadhanah dan penguatkuasaannya.

Seminar Kebangsaan Solusi Hadhanah Mahkamah Syariah (Muqarrar 2019) anjuran bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) serta Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM itu bagi mencari penyelesaian terbaik dalam kes hadhanah di Mahkamah Syariah.

Seminar ini juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan agensi berkaitan, selain menyahut cadangan mewujudkan Mahkamah Khas Hadhanah, Nafkah Anak dan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan oleh kerajaan.