Calon PRK Tanjung Piai harus setanding Md Farid, muda, profesional

KULAI: Faktor calon yang sesuai antara faktor yang boleh menentukan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, kata Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse.

Beliau berkata, siapa pun calon yang dipilih, PKR Johor bersedia memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada calon Pakatan Harapan (PH) yang dipilih untuk bertanding.

“Saya tidak tahu siapa yang akan mengisi kerusi itu sehingga PH bermesyuarat. Tunggu apa akan berlaku dan siapa juga yang akan mengisi kerusi itu dari mana-mana parti, kita sedia membantu.

“Saya tidak mahu cakap sama ada ada keyakinan atau tidak untuk menang kerana itu terletak kepada pengundi dan calon. Lagipun calon pun tidak ada lagi dan terlalu awal tetapi yang penting kita kena buktikan kepada rakyat kita bersedia untuk bekerja dan tunjuk laporan prestasi kita selama setahun,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Bantuan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam 2019 di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu hari ini.

Beliau berkata, satu mesyuarat melibatkan semua ketua bahagian PKR Johor bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim dijadual berlangsung esok di Kuala Lumpur, manakala mesyuarat bersama semua pemimpin Pakatan Harapan Johor diketuai Presiden PPBM Muhyiddin Yassin pula dijadual berlangsung Jumaat depan di Pagoh.

Puah menyifatkan Ahli Parlimen Tanjung Piai Md Farid Md Rafik telah meletakkan satu aras yang tinggi memandangkan beliau seorang profesional muda, justeru calon yang akan bertanding nanti harus setanding dengan calon sebelumnya.

“Arwah sudah letak aras yang tinggi jadi calon untuk PH kena cari orang yang mesra rakyat dan sedia berkhidmat dan kalau boleh golongan muda serta calon tempatan yang boleh faham isu rakyat,” katanya.

Mengulas calon Barisan Nasional (BN), beliau berkata ia sesuatu yang ditunggu memandangkan beliau percaya BN akan meletakkan calon dari gabungan Umno-PAS.

“Presiden MCA Wee Ka Siong tidak pula berkata kerusi itu milik MCA, suatu yang amat pelik. Dalam sejarah hanya MCA selalu bertanding di sana tetapi beliau tidak pernah berkata mereka akan pertahankan. MCA Johor tak sebut, BN pun tak sebut.

“MCA Tanjung Piai cuma kata kalau ia bersedia tetapi di pihak lain Umno Tanjung Piai kata sedia bertanding dan presiden Umno kata bersedia nak bertanding jadi ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

“Umno akan gunakan muafakat dengan PAS untuk menguji keadaan jadi kemungkinan besar ia calon daripada Umno kerana cara MCA mengendalikan isu ini nampak mereka tidak akan letak calon,” katanya.

Kerusi Parlimen berkenaan kosong setelah kematian mengejut Md Farid pada 21 Sept berikutan komplikasi jantung.