Tidak fikir cari untung, sedia van jenazah percuma

Kebanyakan masyarakat sering mencari alternatif untuk mendapatkan pendapatan sampingan namun tidak kurang juga yang berfikir untuk membantu mereka yang memerlukan.

Seorang anak muda, Yunizam Yusop, 31 bertindak menyediakan perkhidmatan van jenazah secara percuma sebagai kemudahan buat mereka yang tidak mempunyai kewangan dalam menguruskan kematian.

Katanya, servis itu telah dimulakan sejak tahun lalu dan ia mendapat sambutan daripada banyak pihak, tanpa mengira kaum.

Terbaru, kisah Yunizam yang turut dikenali sebagai Abam Botak itu tular di laman sosial Facebook selepas membantu menghantar mayat individu beragama Kristian ke Kampung Karamuak, Tongod, kira 150km dari Sandakan.

Kisah tersebut mendapat perhatian netizen dengan lebih 4,100 komen dan 4,900 “share” .

Menceritakan kisah itu, Yunizam berkata dia terserempak dengan seorang wanita ketika mengangkat jenazah di Hospital Duchess of Kent, dan memberitahu dirinya daripada keluarga susah dan tiada wang untuk membiayai kos membawa pulang mayat anaknya.

“Paling meruntun hati saya, apabila makcik itu cuma mampu menangis apabila saya kata van ini percuma untuk digunakan, tiada bayaran,” jelasnya.

Tambah beliau, kini terdapat dua van yang akan beroperasi dimana setiap hari Yunizam akan menghantar lima sehingga enam orang jenazah.

Selain itu Yunizam berkata beliau turut menerima sumbangan daripada orang ramai bagi membantu penyelenggaraan van tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]