MIDF: Jualan asing ekuiti tempatan perlahan kepada RM150.9 juta minggu lepas

Sept menyaksikan aliran keluar bersih pelabur antarabangsa RM486.7 juta setakat ini, iaitu antara yang terendah dalam empat pasaran Asean dipantau oleh MIDF Research. (Bernama pic)

KUALA LUMPUR: Jualan asing di pasaran ekuiti Bursa Malaysia berterusan pada minggu kedua, namun pada kadar perlahan dengan penjualan bersih RM150.9 juta berbanding RM249.3 juta pada minggu sebelum ini.

Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) Adam Mohamed Rahim dalam laporan aliran dana mingguannya berkata setakat ini, jualan bersih asing berlaku selama 26 minggu.

“Keadaan tenang pada Isnin menjadi sebaliknya apabila pelabur asing tidak mengendahkan China yang bertindak membatalkan rancangan lawatan ke ladang Amerika Syarikat (AS) yang tidak berkaitan dengan hal perdagangan antara kedua-dua negara.

“Oleh itu dana antarabangsa mencatat sejumlah RM11.5 juta bersih ekuiti tempatan pada hari yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Adam berkata, dana asing turut menjadi penjual bersih sebanyak RM62.2 juta pada Selasa lepas walaupun terdapat pengecualian baru kepada syarikat swasta dan domestik tempatan untuk membeli kacang soya AS tanpa tertakluk kepada tarif yang dikenakan sebagai reaksi balas dalam pertikaian AS-China.

Beliau berkata, kadar penjualan bersih berubah sedikit pada RM62.9 juta pada Rabu berikutan pelabur mengambil kira kemungkinan prosedur pencabaran ke atas Presiden AS Donald Trump.

“Pasaran kembali positif pada Khamis apabila pelabur asing membeli pegangan RM100.1 juta bersih ekuiti tempatan.

“Ini diikuti dengan draf peraturan China yang mewajibkan bank mengagihkan lebihan peruntukan bagi pinjaman yang tertunggak kepada kepada pelabur bagi mengekang penyelewengan dari segi perakaunan,” katanya.

Beliau berkata, tempoh jualan bersih asing itu meningkat paling ketara pada minggu itu pada Jumaat sebanyak RM137.7 juta berikutan Malaysia dikekalkan dalam senarai pemerhatian Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) oleh penyedia indeks global, FTSE Russell.

“Dengan berbaki satu hari dagangan, Mohd Adam berkata, September menyaksikan aliran keluar bersih pelabur antarabangsa setakat ini adalah RM486.7 juta, iaitu antara yang terendah dalam empat pasaran Asean yang dipantau oleh MIDF Research.

“Berdasarkan asas perbandingan setahun sehingga setakat ini, dana antarabangsa mengeluarkan RM7.83 bilion nilai ekuiti tempatan di Bursa Malaysia.

“Dari segi penyertaan, pelabur asing mengalami penyusutan mingguan yang terbesar 50.8 peratus dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) iaitu pada RM882.4 juta, di bawah paras penanda RM1.0 bilion,” katanya.