Sarung tangan Malaysia antara barang larangan dalam serbuan anti-hamba AS

Sarung tangan getah yang dihasilkan di Malaysia antara produk dilarang import ke AS. (Gambar fail)

NEW YORK: Amerika Syarikat menyekat pengimportan barangan yang disyaki dihasilkan buruh paksa dari lima negara, termasuk Malaysia.

Antara barangan itu adalah pakaian dari China dan berlian dari Zimbabwe, kata pegawai susulan serbuan yang jarang diadakan ke atas hamba di luar negara.

Perlindungan Sempadan dan Kastam AS (CBP) berkata, ia merampas lima barangan berbeza minggu ini berdasarkan maklumat menunjukkan barangan itu dibuat menggunakan buruh paksa di luar negara.

Barangan lain termasuk sarung tangan getah yang dihasilkan di Malaysia, emas yang dilombong di Republik Demokratik Congo dan tulang hitam – tulang haiwan hangus – dihasilkan di Brazil.

Di bawah satu undang-undang pada 2016, adalah haram untuk mengimport barangan ke AS yang sebahagian atau keseluruhannya dihasilkan buruh paksa – yang termasuk kerja di penjara, buruh terikat dan buruh kanak-kanak.

“Sebahagian besar misi CBP ialah memudahkan perdagangan dan perjalanan sah,” kata pemangku pesuruhjaya CBP, Mark Morgan dalam satu kenyataan sambil menambah barangan itu akan dikeluarkan dari pasaran, jika pihaknya mengesyaki produk terbabit dihasil menggunakan buruh paksa.

Syarikat yang terjejas akibat arahan CBP boleh menukar destinasi penghantaran dan cuba menjual produk mereka di negara lain atau memujuk CBP mengubah keputusannya dengan memberi dokumen untuk menunjukkan usaha wajarnya serta berhujah barangan mereka bebas perhambaan.

Badan tidak berkeuntungan, Institut Pemerdagangan Manusia menganggarkan barangan bernilai lebih AS$400 bilion mungkin dihasilkan buruh paksa memasuki pasaran AS setiap tahun.

Bagaimanapun, laporan Thomson Reuters Foundation pada April lalu mendapati hanya produk bernilai AS$6.3 juta disekat sejak undang-undang melarang pengimportan produk dihasilkan hamba diluluskan pada 2016.

Menjelang serbuan terbaru, CBP mengeluarkan tujuh perintah sekatan sejak 2016, termasuk sebatian kimia, bawang putih dikupas dan mainan dari China serta kapas dari Turkmenistan.

“Teruja untuk melihat kemajuan CBP ke arah penguatkuasaan tegas ke atas undang-undang ini,” kata Annick Febrey, ketua hubungan kerajaan dan korporat di Institut Pemerdagangan Manusia yang pada April lalu menyifatkan impak agensi terbabit ketika itu adalah “amat sedikit”.

“Ini ialah isyarat jelas kepada syarikat yang mereka perlu mempunyai prosedur usaha wajar bagi menghalang buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka, jika mereka mahu menjual produk di AS.”

Tahun lalu, Jabatan Buruh AS dilaporkan berkata, ia meningkatkan usaha terhadap barangan buatan hamba “untuk melindungi pekerjaan Amerika” bagi 325 juta rakyatnya dan ia memainkan peranan penting dalam melindungi pekerja daripada penderaan di seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, kira-kira 25 juta orang di seluruh dunia menjadi mangsa buruh paksa.