FMM sambut baik laksana semula GST, syor 3%

Soh Thian Lai.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik cadangan kemungkinan pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dengan menyatakan ia akan merangsang pertumbuhan industri.

Presidennya, Soh Thian Lai berkata FMM juga bersetuju dengan cadangan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) untuk memperkenalkan semula GST pada kadar rendah tiga peratus.

“Mengurangkan kadar GST daripada enam peratus kepada tiga peratus akan meningkatkan keadaan perniagaan, yang akan membawa kepada pelaburan dan peluang pekerjaan tinggi serta pendapatan boleh guna yang lebih tinggi bagi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Soh berkata peralihan semula kepada model automasi sebelum ini di bawah sistem poin akses pembayar cukai (TAP) GST tidak sukar kerana sistem pematuhan GST telah pun ada.

“Kami bagaimanapun berharap dapat terlibat dalam cadangan kajian oleh kerajaan untuk menyediakan pandangan pengilang mengenai kemungkinan pengenalan semula sistem GST.

“FMM kekal menjadi penyokong kuat rejim GST kerana kami berpendapat GST adalah rejim cukai yang lebih telus dan efektif berbanding SST,” katanya.

Persekutuan itu menyatakan bahawa lebih 170 negara telah melaksanakan GST berikutan struktur cukainya yang adil.

Harga eksport Malaysia akan menjadi lebih kompetitif di peringkat global kerana GST tidak dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan yang dieksport, manakala GST yang dikenakan ke atas input boleh didapatkan semula sepanjang rantaian bekalan.

“Ini mengukuhkan industri eksport kita, membantu kemajuan ekonomi negara. Memandangkan persekitaran luaran yang lemah dan dalam keadaan ketegangan perdagangan global sekarang, kami percaya keutamaan perlu diberi untuk mengukuhkan ekonomi dan memulihkan keadaan perniagaan.

“Justeru itu kami melihat ini sebagai masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula sistem GST,” katanya.

FMM juga mencadangkan perkadaran cukai sifar bagi semua barangan dan perkhidmatan keperluan untuk menjadikan rejim GST lebih mesra pengguna dan perniagaan.

Ia juga mencadangkan beban pematuhan cukai dikurangkan dengan meningkatkan had pendaftaran GST kepada RM1 juta dan meminimumkan kelewatan bayaran balik terutamanya bagi pengeksport dan perniagaan dengan bekalan sifar cukai, dengan menyatakan tempoh pembayaran balik yang lama antara enam hingga lapan bulan telah menjadikan GST beban cukai terkumpul.

“Masukkan peruntukan faedah bagi pembayaran lewat dan bayaran balik dalam perundangan GST bagi memastikan pematuhan ketat kepada pelanggan dan integriti sistem,” kata FMM.