Mahkamah: Gaji tertunggak maksimum 24 bulan untuk pekerja dipecat

Mahkamah Perusahaan terkhilaf apabila ia menganugerahkan gaji 24 bulan kepada seorang pekerja yang dipecat bulan lepas, kata Mahkamah Tinggi.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan pekerja yang dipecat hanya berhak mendapat 24 bulan gaji tertunggak.

“Gaji tertunggak tidak boleh lebih 24 bulan tanpa mengira sama ada pekerja itu dberi kerjanya semula,” kata Hakim Mariana Yahya semasa membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Novartis Corporation (M) Sdn Bhd.

Syarikat itu membawa aduannya ke Mahkamah Tinggi untuk membatalkan award Mahkamah Perusahaan, selepas ia diarah membayar sepenuhnya gaji tertunggak kepada ketua pegawai kewangan Leong Chee Kong.

Mariana berkata Mahkamah Perusahaan harus membuat keputusan berdasarkan Jadual Kedua Akta Mahkamah Perusahaan yang mengehadkan gaji kepada 24 bulan.

Beliau juga memutuskan Leong berhak kepada 12 bulan gaji tertunggak.

Bagaimanapun, hakim mengekalkan dapatan Pengerusi Mahkamah Perusahaan Bernard John Kanny bahawa pemecatan Leong tanpa sebab dan perintah pengembalian kedudukan jawatan adalah betul.

Pada Mac, Kanny dalam keputusannya berkata Jadual Kedua yang mengehadkan gaji kepada 24 bulan tidak terpakai apabila pengembalian kedudukan jawatan diperintahkan.

Sebaliknya, beliau berkata jika pekerja dipecat tanpa sebab dan kedudukan jawatan tidak dikembalikan, dia akan dianugerahkan pampasan maksimum 24 bulan.

Kanny tahun lepas memutuskan pemecatan Leong tidak adil dan mengarahkan pengembalian kedudukan jawatan berkuatkuasa 1 Okt, dan majikan diberitahu untuk membayar sepenuhnya gaji tertunggak sebanyak RM870,408.

Mahkamah Perusahaan juga mempunyai kuasa untuk menganugerahkan gaji tertunggak serta pampasan sebagai ganti pengembalian kedudukan jawatan.