Mercedes pecat kakitangan ‘buli’ rakan sekerja Islam
Pasukan Mercedes-AMG F1 memecat 4 pekerja di UK dan mengenakan tindakan disiplin terhadap 3 yang lain kerana membuli rakan sekerja berdasarkan agama.
PETALING JAYA: Pengeluar kereta terkemuka dunia, Mercedes berjuang melawan Islamofobia dengan memecat beberapa pekerja yang mengzahirkan kebencian terhadap rakan sekerja beragama Islam.
Portal Stepfeed melaporkan pada Ogos lalu, pasukan Mercedes-AMG F1 yang juga dikenali pasukan pelumba Lewis Hamilton memecat empat pekerja dari ibu pejabatnya di Brackley, United Kingdom dan mengenakan tindakan disiplin terhadap tiga yang lain kerana didakwa membuli rakan sekerja mereka berdasarkan agama.
Empat pekerja bahagian IT yang dipecat itu didapati mengganggu rakan sekerja beragama Islam dan memanggil mereka “pengganas Islam f**k”.
Keempat-empat mereka juga membuat undian pada papan notis kakitangan pada Ramadan dengan bertaruh bila rakan sekerja Islam mereka akan berbuka puasa.
Menurut laporan, ia hanyalah dua insiden yang dilaporkan secara terbuka kerana lelaki itu dibuli rakan sekerjanya selama bertahun-tahun.
Aduan difailkan berhubung tingkah laku ini yang membawa kepada siasatan dan mendapati kakitangan Mercedes-AMG F1 melanggar dasar kepelbagaian agama dan kesamarataan.
“Kami mengutuk tingkah laku ini dengan istilah yang paling kuat dan bertindak dengan serta-merta ke atas aduan. Kami menghargai kepelbagaian agama pekerja kami dan ini merupakan sumber kekuatan untuk pasukan kami,” kata jurucakap Mercedes-AMG F1.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Pada Mac, Hamilton bercakap mengenai rasis sambil berkata: “Adalah gila untuk memikirkan di dunia pada masa ini, perkauman masih menjadi perkara yang menonjol.”