RAM Ratings unjur prestasi perdagangan Ogos kekal muram

Kebimbangan utama berkenaan fenomena ‘spaghetti bowl’ ialah isi padu perdagangan antara negara terbabit tidak meningkat walaupun selepas perjanjian perdagangan bebas ditandatangani.

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan prestasi pertumbuhan eksport dan import Malaysia kekal tidak memberangsangkan masing-masing pada -0.1 peratus dan -6.4 peratus pada Ogos.

Dalam satu kenyataan, agensi penarafan itu berkata, ia sekali gus akan mengurangkan lebihan jumlah perdagangan sebanyak RM6.5 bilion berikutan kelembapan prestasi perindustrian dan perdagangan global pada bulan yang sama.

Ketua Penyelidikan RAM Ratings, Kristina Fong berkata, rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang turut disertai Malaysia dijadualkan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

“Galakan utama untuk menjadi sebahagian daripada perjanjian perdagangan ini terletak pada potensi untuk menyelesaikan kesan “spaghetti bowl” ekoran pertindihan perjanjian perdagangan bebas sedia ada, dengan menyeragamkan peraturan dan prosedur dalam kalangan anggotanya.

Kesan “spaghetti bowl” merujuk kepada fenomena dalam ekonomi perdagangan yang menyaksikan pertambahan bilangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara negara memperlahankan perdagangan antara mereka.

Kebimbangan utama berkenaan fenomena ini ialah isi padu perdagangan antara negara terbabit tidak meningkat walaupun selepas perjanjian berkenaan ditandatangani.

“Dengan penetapan peraturan lebih seragam bagi perjanjian perdagangan ini, aliran perniagaan boleh dipertingkatkan lagi melangkaui sebarang pelarasan teliti ke atas tarif yang mungkin diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan itu.

RAM Ratings berkata, Malaysia mempunyai perjanjian perdagangan sedia ada dengan negara yang merundingkan RCEP, justeru ia seharusnya meredakan kebimbangan mengenai ancaman ke atas daya saing syarikat domestik memandangkan tarif import berpotensi dikurangkan berdasarkan perjanjian perdagangan baru ini.

“Mengikut perjanjian semasa, tarif import Malaysia berada pada atau hampir sifar, sekali gus mengehadkan kesan penggantian import yang ketara,” menurut agensi itu.