46 terbunuh protes antikerajaan Iraq, ulama salahkan ahli politik

Keadaan di Baghdad pada 4 Okt ekoran tunjuk perasaan antikerajaan ganas sejak empat hari lalu mengorbankan 46 orang. (Gambar Reuters)

BAGHDAD: Jumlah kematian tunjuk perasaan ganas di seluruh Iraq sejak empat hari lalu melonjak sehingga 46 orang hari ini, kebanyakan terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu.

Ulama berpengaruh menyalahkan ahli-ahli politik atas protes.

Dilihat sebagai campur tangan yang jarang berlaku, pemimpin agung Ali al-Sistani, yang kata-katanya dianggap sebagai undang-undang bagi sebahagian besar komuniti majoriti Syiah di Iraq, menggesa penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan mengelakkan daripada bertindak ganas.

Beliau juga mahu ahli-ahli politik bertindak terhadap tuntutan pihak yang mengadakan tunjuk perasaan.

“Sungguh menyedihkan kerana terdapat begitu banyak kematian, kecederaan dan kemusnahan,” kata beliau dalam surat dibacakan oleh wakilnya Ahmed al-Safi semasa khutbah di kota suci Kerbala.

“Kerajaan dan parti politik tidak menjawab tuntutan rakyat untuk memerangi rasuah atau memberi apa-apa alasan,” kata beliau.

“Parlimen mempunyai tanggungjawab besar ke atas apa yang berlaku.”

Dalam taklimat menerusi TV semalam, Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi berkata beliau memahami kekecewaan orang ramai tetapi tidak ada “penyelesaian mengejut” bagi masalah Iraq.

Beliau menjanjikan pembaharuan walaupun telah dilemahkan oleh penunjuk perasaan.

Demonstrasi ganas terus bertambah buruk sejak hari pertama ia meletus pada Selasa lalu, merebak ke seluruh negara secara spontan tanpa sokongan mana-mana kelompok politik dan mengejutkan pihak berkuasa.

Pasukan keselamatan telah melepaskan peluru hidup ke arah orang ramai terutama lelaki muda, dan lelaki bersenjata telah melepaskan diri.

Beratus-ratus orang cedera, termasuk anggota pasukan keselamatan serta penunjuk perasaan.

Polis dan sumber perubatan memberitahu Reuters jumlah kematian termasuk 18 orang yang terbunuh di bandar selatan Nassiriya, 16 (Baghdad), empat (Amara) dan empat (Baquba). Kematian lain dilaporkan di dua bandar raya selatan yang lain iaitu Hilla dan Najaf.