Annuar: Umno, PAS sertai kongres demi Melayu, PPBM lemah

Annuar Musa.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno berkata partinya dan PAS, dua parti Melayu-Islam terbesar, menyertai Kongres Maruah Melayu demi bangsa itu, dan PPBM didapati lemah untuk bersuara.

Setiausaha Agung Annuar Musa menarik perhatian kepada “keanehan” sekitar penganjuran kongres tersebut, didakwanya didalangi beberapa pemimpin parti pemerintah tetapi menggunakan platform pihak lain, iaitu pihak universiti.

“Belum pun ia berlangsung, program yang direstui dan dihadiri oleh perdana menteri sudah dikritik oleh bakal perdana menteri dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang. Anehnya, semua mereka dari PH,” katanya di Facebook hari ini.

Bagi Annuar, penganjuran itu mengesahkan wujudnya keresahan dalam kalangan orang Melayu pada masa ini, tetapi Dr Mahathir Mohamad tidak dapat bersuara dan tidak dapat menganjurkan kongres atas nama PPBM.

Annuar berkata, melihat kepada kedudukan PPBM yang begitu lemah, tidak banyak yang Umno harapkan akan berlaku daripada Kongres Maruah Melayu.

“Malah masa sudah semakin suntuk buat PPBM dan buat perdana menteri sendiri. Apa lagi dalam keadaan tiadanya solidariti dan setiakawan dalam PH,” tambahnya.

Annuar berkata Umno dan PAS, yang baru sahaja memeterai piagam muafakat nasional, mengambil langkah menerima undangan ke kongres itu, kerana mengambil sikap sedia hadir untuk mendengar perkara berkaitan kepentingan orang Melayu.

“Sebagai wadah terbesar orang Melayu, tidak wajar Umno terutamanya memencilkan diri dari sebarang usaha untuk kebaikan orang Melayu, atau muafakat Melayu, atau muafakat nasional,” katanya.

Annuar berkata Umno dan PAS tidak tahu apakah perbincangan dan resolusi yang mahu dibuat kongres itu tetapi ia akan diteliti.

“Kita juga ingin mendengar dan melihat apakah penerimaan pemimpin-pemimpin besar parti-parti dalam kerajaan terhadap resolusi ini,” katanya.

Mahathir akan memberikan amanat pada penghujung acara Kongres Maruah Melayu yang bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada Ahad.

Kongres tersebut dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).