Anwar: Dr M tak akan remeh manifesto PH

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim percaya Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad tidak akan sesekali meremehkan manifesto gabungannya, selepas kenyataan beliau bahawa Putrajaya menjadi mangsa kepada manifesto PH.

Anwar percaya ia akan dibangkitkan di pemukiman dua hari pimpinan PH bermula esok, dan akan turut dibawa ke mesyuarat gabungan pada Isnin.

“Saya tidak fikir Mahathir meremehkan soal manifesto, tetapi maksudnya, secara ikhlas katakan, ada yang boleh dilaksanakan dan ada yang boleh ditangguh,” katanya pada sidang media di satu acara di Port Dickson hari ini.

Mahathir dalam ucaptama di satu persidangan di persidangan undang-undang perlembagaan antarabangsa anjuran Law Association for Asia and Pacific (Lawasia) di Putrajaya hari ini berkata PH komited untuk memansuhkan undang-undang drakonian seperti yang dijanjikan sebelum pilihan raya umum ke-14, namun bukan semudah yang disangka.

Perdana menteri berkata memansuhkan undang-undang yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan perlu mendapat sokongan dua pertiga Dewan Rakyat, sedangkan rakyat pula mahu melihat perubahan dalam waktu singkat.

Antara undang-undang yang menjadi sasaran PH adalah Akta Anti Berita Tidak Benar, Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan Akta Majlis Keselamatan Negara.