Dana 1MDB: Taikun Sarawak mahu selesai saman lucut hak RM11.9 juta

Bustari Yusof (kanan) sebelum ini disifatkan orang kanan Najib Razak. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Sarawak, Bustari Yusof mahu menyelesaikan saman pelucuthakan terhadapnya atas dakwaan menerima RM11.9 juta dana 1MDB.

Peguamnya, Kamarul Hisham Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mereka akan memfailkan surat representasi kepada Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menetapkan 1 Nov ini untuk pengurusan kes, sementara menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara sama ada mahu menerima representasi mereka untuk penyelesaian.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abd Jumaat memberitahu mahkamah, dia tidak pasti bagaimana kerajaan akan memberi respons terhadap penyelesaian yang dicadangkan Bustari.

“Kami meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan dan memberi masa kepada peguam negara untuk bertindak balas. Dari sana, kita boleh menentukan kemudian sama ada kedua-dua parti akan meneruskan perbicaraan penuh.”

Terdahulu, peguam Bustari memberitahu mahkamah, mereka membantah saman pelucuthakan kerajaan atas alasan pihak pendakwaan menggunakan “cara salah” untuk memulakan prosiding undang-undang.

Mahadi turut memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menyediakan respons mereka terhadap penghujahan pihak pembelaan yang mereka menggunakan “cara salah” dalam permohonan pelucuthakan.

Jun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengumumkan ia memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta dana 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun Najib Razak.

Sebelum ini, ada laporan menyifatkan Bustari ialah orang kanan Najib dan kerap bermain golf dengan bekas perdana menteri itu.