Jawatankuasa UEC serah laporan hujung Oktober

(Dari kiri) Ahli Jawatankuasa Khas Peperiksaan Bersepadu Mohamad Raimi Abd Rahim, Pengerusi Eddin Khoo dan Timbalan Presiden Dong Zong Tan Yew Sing.

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC) berkata ia telah meminta lanjutan masa bagi menyerahkan laporannya.

Jawatankuasa itu akan bertemu ahli-ahli parlimen bagi mendapatkan pandangan mereka pada 16 Okt ini, kata Pengerusi Eddin Khoo kepada pemberita hari ini.

Beliau berharap dapat menyerahkan laporannya menjelang penghujung bulan ini.

Dalam satu program berasingan, Menteri Pendidikan Maszlee Malik bersetuju jawatankuasa itu perlukan masa lagi. Jawatankuasa itu perlu menemu bual seberapa banyak pemegang taruh yang mungkin, kata beliau.

Khoo berkata jawatankuasa itu mengadakan 72 libat urus bersama sekurang-kurangnya 500 individu, termasuk persatuan sivil, belia, parti-parti politik, universiti dan exco pendidikan di Sabah dan Sarawak.

Khoo berkata perspektif terhadap UEC yang pelbagai itu bercanggah dan jawatankuasa perlu mencari satu titik tengah dalam kesimpulan dan syornya.

Beliau menambah ada tanggapan salah yang menganggap pasukan petugas itu mula bekerja pada Okt, menjelaskan ia sebenarnya mula pada Jan lalu.

“Dari Okt 2018 hingga Dis 2018, pasukan petugas perlu membincangkan kaedahnya,” katanya.

Khoo berkata sentimen di ruang awam tidak mencerminkan perbincangan semasa temu bual.

“Semua orang boleh berbincang secara matang dan ini mencerminkan keupayaan rakyat berbual perkara yang susah dengan matang dalam ruang tertutup.”

Khoo menambah isu UEC memang rumit dan bukan semata-mata teknikal akademik, seperti yang dihujahkan beberapa pihak.

“Apabila kita bercakap mengenai isu UEC, kita juga terpaksa bercakap mengenai sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

“Isu ini pada asasnya satu sistem tertentu harus ‘masuk’ ke dalam satu lagi sistem, tanpa sebarang syarat atau masalah teknikalnya ditangani,” katanya.

Khoo menambah ia menimbulkan persoalan asas mengenai sifat, sistem dan falsafah pendidikan negara. Semua dimensi yang ditimbulkan dalam perbincangan akan dihuraikan dalam laporannya, katanya.

Beliau berharap laporan itu akan terbuka kepada awam.

Beliau juga berkata laporan UEC bukan permainan campur tolak, serta rundingan dan pertimbangan antara semua pihak perlu bagi mencapai sepersetujuan.

Corak

Khoo juga menonjolkan corak-corak yang muncul dalam semua sesi bersama pemegang taruh.

Beliau mendedahkan semua orang, tanpa mengira kecenderungan politik, prihatin dengan kegagalan sistem pendidikan kebangsaan yang dilihat mereka.

Beliau berkata parti-parti politik, yang pernah berkuasa dan sedang berkuasa, sama-sama menyatakan sistem pendidikan kebangsaan perlu diperkukuhkan.

Katanya, salah satu isu yang dibangkitkan dalam semua pertemuan adalah dasar-dasar pendidikan dirombak setiap kali menteri pendidikan baru dilantik.

Pemegang taruh seterusnya mempersoalkan ketekalan dan kemapanan sistem pendidikan, kata beliau.

Khoo juga mendedahkan perbezaan generasi yang menarik yang muncul dalam perrtemuan bersama golongan muda.

Beliau berkata golongan muda sangat berminat mempelajari bahasa Cina. “Ramai juga anak muda berketurunan Cina yang sangat berminat mempelajari bahasa Melayu,” katanya.

“Inilah percangahan yang perlu dibicarakan secara serius,” katanya.

Beliau menambah golongan muda juga mahu sistem pendidikan sedia ada diubah menjadi lebih inklusif.

“Antara cadangan yang saya dapati amat menarik adalah pengajaran bahasa di sekolah-sekolah kita,” katanya, dan menambah golongan muda mahu belajar lebih banyak bahasa.

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa Mohamad Raimi Abd Rahim berkata bahasa kebangsaan sering menjadi perkara dalam temu bual.

Beliau berkata umumnya rakyat mahu menguasai bahasa lain selain bahasa ibunda. “Dalam konteks ini, bahasa kedua dan ketiga, selain bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun, dalam masa sama, isu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga dibincangkan,” katanya.

Raimi menambah semua pihak terlibat prihatin dengan perpaduan antara kaum.

Beliau berkata ramai mahu isu diselesaikan supaya perpaduan yang lebih utuh tercapai menerusi sistem pendidikan.

“Soalnya sekarang bagaimana kita boleh mencapainya,” katanya.